Thursday, January 13, 2005

 

ULASAN CERPEN NUR AIN

ULASAN CERPEN NUR AIN OLEH UMMU HANI ABU HASSAN

Cerpen ini mengisahkan aku dan Aina isterinya, mengerjakan Umrah di tanah suci Mekah. Mereka juga pergi ke kota Madinah untuk menziarahi makam Rasullullah saw. Ketika di Mekah aku dan isterinya berdoa semoga Allah mengurniakan mereka zuriat kerana sudah lebih 20 tahun berkahwin tapi masih belum punya anak. Cerpen ini diakhiri apabila pasangan tersebut pulang ke tanah air, ketika mendarat di KLIA Aina telah sakit dan dimasukkan ke bilik kecemasan. Menurut doktor, aku akan bergelar ayah.

ULASAN

BAHASA/AYAT
Bahasa merupakan perkara penting dalam penulisan. Melalui bahasa pengarang menyalurkan ideanya kepada pembaca. Bahasa yang betul, kemas, mantap dan cantik ayatnya pasti menyenangkan pembaca menghayatinya.

Pada keseluruhannya Ummu Hani berjaya menyampaikan idea melalui bahasa yang lancar dan cantik. Namun terdapat juga beberapa perkara yang perlu diambil perhatian.

Izinkan saya menyentuh beberapa penggunaan ayat pada cerpen ini. cuba kita baca ayat berikut:

Bangunan-bangunan batu yang berselerak dari ufuk jabal, melintang dan tersusun memagari ruang Baitul Haram.

Ufuk jabal yang dimaksudkan oleh pengarang ialah puncak bukit yang terdapat di sekitar kota Mekah. Namun di sekitar Masjidil Haram tidak terdapat lagi bukit malah Jabal Qubis pun sudah diruntuhkan.

Pada ayat ini terdapat juga perkataan "berselerak", "melintang" dan "tersusun." yang menggambarkan bangunan di kota Mekah. kalau berselerak tidak dinamakan melintang dan tersusun.

Begitu juga perkataan "ruang". Saya rasa lebih sesuai perkataan "ruang" itu diganti dengan kawasan atau sekitar. Apa yang ingin digambarkan oleh pengarang ialah bangunan batu tersusun di keliling Masjidil Haram. Kalau perkataan ruang boleh membawa makna dalam Masjidil Haram bukan di kawasan luar.

Kita perhatikan pula ayat berikut:

walaupun suhu di siang hari kadang mencapai 46 darjah Celcius. Terlalu panas.

Ayat ini menggambarkan waktu siang di tanah suci itu terlalu panas sehingga mencapai 46 darjah Celcius. Benar. Tapi harus juga diingat, di sana cuaca panas bukan sepanjang tahun. Ada juga musim sejuknya walaupun tak sampai paras beku. Supaya jangan tersalah fakta, sepatutnya ayat tersebut begini:

Pada musim panas suhu di siang hari kadang mencapai 46 darjah Celcius. Terlalu panas.
menghidangkan panorama gharib.
seorang jadd.

Saya masih memikirkan apakah makna panorama gharib dan seorang jadd?.

Apakah faedahnya kita masukkan perkataan asing yang tidak difahami pembaca?.

SUDUT PANDANGAN

Sudut pandangan dalam sesebuah cerpen amat mustahak kerana ia menjadi alur cerita. Dengan adanya sudut pandangan pembaca lebih mudah menghayati ceritanya. Namun kalau sudut pandangan pertama iaitu ia terbatas dengan apa yang dilihat sahaja. Aku tidak boeh menyelami apa yang difikirkan orang lain kecuali melalui tindakan dan percakapannya sahaja.

Melalui cerpen ini pengarang cuba mempelbagaikan sudut pandangan. Contohnya kisah yang bertarikh 20 jun 2004 dilukiskan dari sudut pandang aku iaitu suami Aina. Kemudian pada 21 Jun 2004 cerita dari sudut pandangan Aina isteri aku.
Kemudian pada 22 Jun 2004 sudut pandangan Aku semula. Dan pada 25 sudut pandangan Aina isteri aku. Dan pada 26 Jun sudut pandangan Aku, suami Aina.

Mempelbagaikan sudut pandangan watak seperti ini memang baik. Mungkin pengarang ingin melakukan sesuatu yang baru. Sebab biasanya sebuah cerpen hanya dari sudut pandangan satu watak sahaja. Sebaiknya kalau sudut pandangan pertama tidak boleh dicampurkan dengan sudut pandangan orang ketiga.

Cara itu lebih mudah kerana kalau kurang berhati-hati jadi tak terkawal. Malah boleh mengelirukan. Contohnya seperti berikut:

Aku ingin mencuri waktu ini bersama Aina, permaisuri hati yang tak sudah mencebik dan mengeluh, " Kita dah tuakan bang." Seperti biasa, hanya senyuman yang terukir di bibir. " Sayang, semakin tua, semakin hangat kasih abang padamu." Dia mengeluh, mungkin sudah lali dengan retorik itu.

Siapa yang berkata?. Siapa yang tersenyum?. Dan siapa yang mengeluh?. Ayat terakhir ." Dia mengeluh, mungkin sudah lali dengan retorik itu. DIA adalah sudut pandangan isteri bukan aku. Sebab yang mengucapkan kata-kata retorik ialah Aku.

Aku melirik suami, dia memejamkan matanya sejak tiba di hadapan makam nabi sambil berdoa, Ya rasul, syafaatkan kami tatkala matahari terpacak di atas ubun-ubun kami nanti, rayu hatiku.

Ayat ini dari sudut pandangan aku, Aina. Dari ayat di atas difahamkan yang berdoa ialah suami. Tetapi kenapa ada ayat rayu hatiku di akhir perenggan. Atau adakah isteri yang berdoa?. Kenapa adanya perkataan rayu?.

Dan juga ayat berikut:

Ini mungkin catatan terakhirku di Tanah Suci. Aku pasti kembali ke sini jika Allah masih mengurniakan kudrat umur

" Abang." Dia menoleh. " Aina nak cakap sesuatu. Aina dah buat keputusan bahawa abang boleh…" Dia menutup mulut isterinya. " Biar abang yang mulakan. Abang sudah berjanji di hadapan kaabah. Abang akan jadi seorang suami yang bersyukur dan qanaah. Tiada pilihan cinta abang. Hanya dengan Aina walaupun tiada nur ain." Dia mengucup dahi isterinya.

Perenggan ini dimulai dengan sudut pandangan "aku". Tetapi di selangseli dengan "Dia". Malah ayat " Dia mengucup dahi isterinya" juga agak mengeirukan kerana bermula dengan sudut pandangan pertama Aku.

SEBAB / AKIBAT/ LOGIK CERITA/

Dalam sesebuah cereka sebab dan akibat mesti menasabah supaya pembaca tidak berasa seperti dipermainkan oleh pengarang.

Ibadat Umrah biasanya dilakukan selama dua minggu atau lebih. Dan biasanya mereka berada di Madinah selama 8 hari untuk mengerjakan sembahyang 40 waktu. Biasanya Jemaah Malaysia ke Madinah bukan sekadar menziarahi makam Rasullullah tetapi juga ingin mengerjakan sembahyang sebanyak 40 waktu yang mengambil masa selama lapan hari.

Dalam cerpen ini Aku dan Aina berada di Madinah cuma lima hari sahaja bermula dari 20hb hingga 24 hb kerana pada 25hb mereka sudah berada di Mekah. Bermakna mereka cuma sempat mengerjakan sembahyang 25 waktu sahaja tidak cukup 40.

Di ceritakan juga mereka sampai ke Madinah pada 20hb terus dibawa melawat tempat bersejarah seperti Masjid Qubak, Masjid Qiblatain dan lain-lain. Diceritakan juga setelah melawat tempat tersebut baru mereka menziarahi makam Rasullullah.

Kamudian suami tidak sabar menziarahi makam Rasulullah s.a.w.

Biasanya apabila sampai di Madinah, tempat yang mula-mula pergi ialah Masjid Nabawi untuk menziarahi makam Rasullulah. Selepas itu baru pergi melawat ke tempat lain. Tidak pernah berlaku jemaah di bawa keluar kota Madinah dulu baru menziarahi makam Rasullullah saw kerana menziarahi makam rasul perlu diutamakan.

Kita perhatikan pula ayat berikut:

Aku melirik suami, dia memejamkan matanya sejak tiba di hadapan makam nabi.

Ayat ini membawa maksud aku dan suami sama-sama menziarahi makam Rasullaullah saw di Masjid Nabawi.

Apa yang pasti di Masjid Nabawi jemaah lelaki dan wanita diasingkan. Walaupun suami dan isteri mereka tidak boleh masuk ke masjid itu bersama. Begitu juga menziarahi makam Rasullullah saw. Waktu melawat untuk kaum wanita tidak sama dengan lelaki. Dan tidak pernah berlaku suami dan isteri dibenarkan menziarahi makam itu serentak.

Kita perhatikan pula ayat berikut:

Ini mungkin catatan terakhirku di Tanah Suci. Aku pasti kembali ke sini jika Allah masih mengurniakan kudrat umur.

Dia resah. Isterinya dimasukkan ke bilik kecemasan sebaik sahaja kapal terbang yang mereka naiki mendarat di KLIA. Ketika dia memasuki ruang bilik tersebut, seorang doktor muda menyapa sambil tersenyum, " Tahniah! Encik bakal bergelar ayah." Dan dia terpana lalu melutut syukur. Tuhan! Cintamu lebih mendalam daripadaku. Kerana nur ain, dia menangis dan memeluk isterinya.

Ketika pasangan tersebut berada di Madinah pada 20hb hingga 24hb tidak diceritakan Aina sudah mengandung. Malah ketika berada di Mekah pada 25hb Aina dan suami berdoa malah bermunajat supaya dikurniakan zuriat. Malah sebelum pulang ke tanah air, Aina sudah bercadang membenarkan suaminya berpoligami agar beroleh zuriat kerana dia tidak boleh mengandung lagi.

Tetapi kenapa tiba-tiba sewaktu berangkat balik pada 26hb Aina tiba-tiba sakit dan ingin melahirkan sehingga suami diyakinkan oleh doktor baahawa dia akan bergelar seorang ayah.

Kalau Aina sekadar sakit biasa kenapa mesti dimasukkan ke bilik kecemasan?.

KESIMPULAN

Cerpen ini menarik cuma disebabkan pengarang ingin melakukan pembaharuan maka ada beberapa perkara yang boleh mengelirukan pembaca. Mungkin pengarang faham apa yang ingin disampaikan cuma saya sebagai pembaca kurang arif.

Walaupun ulasan ini agak pahit namun saya berharap pengarang tidak berkecil hati apatah lagi merajuk. Anggaplah yang pahit itu menjadi ubat kerana semua ubat yang mujarab itu pahit.

Abdullatip
Jumaat 2.00 pagi.





Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?