Friday, January 14, 2005

 

ULASAN CERPEN TANAH KITA OLEH MK RIZA



ULASAN CERPEN TANAH KITA KARYA MK RIZA

PENDAHULUAN

MK RIZA seorang penulis muda berbakat yang punya masa depan di bidang penulisan. Dengan usianya yang masih muda di tambah dengan ilmu bantu yang diperolehinya semasa menuntut di universiti dan sebagai anak didik kepada En. Salleh Rahamad dan Prof Rahman Shaari, memberi kelebihan kepada beliau untuk lebih berjaya. Namun pesanan ikhlas daripada saya sebagai penulis baru jangan cepat berasa puas hati dengan karya yang dihasilkan. Jangan meninggi diri dengan sedikit kejayaan dan paling penting jangan melenting bila karya di kritik.

Dalam hubungan ini saya masih ingat pesanan DR Othman Puteh semasa membimbing penulis muda dalam satu bengkel penulisan yang dianjurkan oleh GAPENA di muara Sungai Duyung Melaka. Beliau meluahkan rasa kesal kerana ada diantara penulis muda yang di bawah asuhannya apabila sudah terkenal namanya dan menang banyak sayembara mula berasa megah dan lupa diri. Menurut beliau Sikap seperti itu hanya merugikan diri penulis itu sendiri

Menurut beliau, pernah suatu ketika, beliau menjemput anak didiknya itu berkongsi pengalaman dengan pelajar di universiti tempat beliau bertugas. Kali pertama penulis muda itu menolak dengan alasan sibuk. Jemputan kali kedua penulis tersebut bertanya berapa bayaran yang akan dia dapat. Mungkin inilah antara sifat meninggi diri yang dimaksudkan oleh DR Othman Puteh.

Sehubungan dengan kritikan pula, penulis terkenal A. Rahim Abdullah, semasa menyampaikan ceramahnya di Seremban mengatakan Sebagai penulis kita jangan mudah melenting bila karya kita diulas atau dikritik oleh pembaca. Terserah kepada pembaca untuk menilai mengikut citarasa dan kemampuannya sendiri.

ULASAN CERPEN TANAH KITA

CERPEN Tanah Kita yang ditulis oleh MK RIZA ini secara harafiahnya memang benar-benar membawa makna bahawa kita mesti mempertahankan hak kita apatahlagi tanah pusaka yang kita warisi daripada orang tua kita. Lebih-lebih lagi kalau sudah ada wasiat dari seorang ayah supaya tanah itu dipertahankan dan jangan terlepas ke tangan orang lain.

Melalui cerpen ini MK RIZA mendidik pembaca supaya cintakan tanah air dan mesti sanggup mempertahankannya.

Dengan menggunakan watak orang pertama "aku" MK RIZA memulakan cerpennya dengan monolog dalaman. Aku berdailog dengan dirinya betapa kesalnya dia dengan sikap pembesar melayu zaman dahulu yang rela menggadaikan tanah air kepada penjajah demi untuk mendapat kesenangan peribadi seperti katanya;

" Aku kira Sultan Abdullah juga ada rasa bersalah./ sehingga Pulau Pinang diambil Inggeris/. Aku hitungi akan rasa bersalahnya Sultan Husin sehingga Singapura ditadbir William Farquhar."

Dari peristiwa sejarah itulah "Aku" atau nama sebenarnya Iskandar Zulkarnain berazam untuk mempertahankan tanah kita yang diwarisi dari arwah ayahnya dari berpindah milik kepada bangsa asing. (orang korea)

Keseluruhan cerpen ini hanya mempunyai beberapa adegan sahaja. Bermula dengan adegan pertama watak "aku" menaiki bas dan semasa dalam perjalanan pulang ke kampung "aku" bermonolog.

Bagi MK RIZA runtuhnya bangsa Melayu kerana lupa sejarahnya. Hakikat tersebut memang benar dan memang tidak dinafikan banyak tanah hak orang melayu tergadai atau terlepas ke tangan bangsa asing sehingga pihak pemerintah terpaksa menggubal undang-undang akta tanah yang mana tanah rizeb melayu tidak boleh dijual kepada bangsa asing.

Kerana asyiknya memikirkan masalah tanah melayu menyebabkan watak aku tidak menghiraukan panggilan telefon dari Saffiyah kekasihnya. Dan konflik cerpen ini bermula bila watak aku mengheret abang dan kakak dalam persoalan yang sedang menghantui fikirannya.

Watak aku berpendapat wujudnya perbezaan pendapat antara dia dengan abang kandungnya kerana pendidikan yang mereka perolihi. Kerana abang belajar di luar negara maka semangat cinta kepada "tanah kita" lansung tidak ada. Sebaliknya "Aku" berasa cintanya lebih kerana mendapat pendidikan di dalam negeri.

Cuba kita baca kata-kata berikut:

Aku kira ayah juga silap menghantar abang ke Amerika. Menjelajahi pemikiran computer science yang mencampakkan dia terlalu ke hadapan. Sehingga lupa menoleh ke belakang. Melupakan sejarah dan rasa bangsanya. Terlalu lama di negeri orang . Terpengaruh dengan hidup barat. Ideologi kebaratan.

Namun secara realitinya tidak semestinya mereka yang menuntut di luar negara kurang rasa kecintaannya terhadap tanah air. Malah terdapat penuntut yang belajar di luar negara mempunyai semangat patriotik yang tinggi atas kesedaran setelah berada di negara penjajah.

Timbul juga persoalan jika si abang sudah teguh ekonominya dan kakak pula bersuamikan orang besar berpangkat tinggi kenapa masih sanggup hendak menjual tanah pusaka peninggalan arwah ayah mereka yang mana sekaligus membelakangkan wasiat ayah?. Tambahan pula dia berpelajaran tinggi.

Seterusnya pembaca dibawa ke adegan ketiga (imbas kembali) yang agak laju di mana watak aku teringat pertengkaran dengan abangnya 3 tahun yang lalu. Kemudian teringat dialog dengan arwah ayah sebelum dia meninggal.

"Ah… abang, nampaknya matamu dibutakan bangsa barat," hatiku berkata sendirian.

"Tiada apa yang dapat ayah perjuangkan kecuali tanah ini. Kau mungkin lebih mengerti akan maksud ayah," kata-kata arwah ayah yang masih terbenam di ingatan ini.

Kenapa watak aku beriya sangat hendak mepertahankan tanah pusaka peninggalan arwah ayah mereka?. Adakah kerana kesedaran atau dia berasa rendah diri terhadap abang dan kakaknya?. Kalau watak aku benar sayangkan tanah itu kenapa dibiarkan menjadi terbiar.

Mungkin juga Iskandar mempertahankan tanah itu kerana berpegang kepada wasiat ayah dan tambahan pula nama beliau dicacat sebagai pewaris pertama. Atau lebih tepat lagi nama beliau tercacat dalam geran tanah tersebut. Kerana itu abang dan kakak tidak dapat menjualnya melainkan dengan persetujuan adik.

Atau mungkinkah watak "Aku" sengaja hendak menunjukkan ego kepada kakak dan abang kerana ayah memberi nama Iskandar Zulkarnain yang berarti penyelamat sebuah tanah?.

Cuba kita teliti pula kata-kata berikut:

Seperti mana wasiat ayah, aku adalah pemutus dalam setiap perkara tanah kami. Walau aku bukan anak sulong. Apakah abang dan Kak Ngah terasa hati ?

Memang jarang berlaku si ayah menamakan anak yang bongsu menjadi pewaris tunggal tanahnya. Biasanya ayah namakan anak yang sulung. Kalau di negeri sembilan mungkin boleh terjadi kalau anak bongsu itu anak perempuan.

Dalam kisah ini abang jadi kebanggaan keluarga kerana belajar di luar negara dan si kakak pula berkahwin dengan orang besar berjawatan tinggi. Biasanya secara logik si ayah akan lebih menjaga perasaan si abang yang berjawatan tinggi dan si kakak yang bersuamikan orang besar berbanding anak yang bongsu.

Seterusnya cuba kita teliti dialog berikut:

"Ibu, kenapa tak larang Abang Long jual tanah tu".

Dialog ini memberi gambaran seolah tanah itu sudah dijual sedangkan hakikatnya masih belum tergadai. Sepatutnya dialog itu begini;

" Ibu, kenapa tak larang Abang Long hendak menjual tanah itu?"

Dengan adanya perkataaan "hendak" itu membawa maksud tanah tersebut baru hendak dijual.

Kita teliti pula dialog berikut:

"Ayah dan ibu sama-sama terokai tanah tersebut. Kami bekerja kuat. Biar Jepun dan Inggeris yang datang kami pertahankan bersama. Kami tak rela melihat tanah generasi akan datang diperkosa orang asing".

Dialog ini kurang meyakinkan kerana masalah tanah kepunyaan individu jatuh ke tangan bangsa asing hanya berlaku selepas merdeka. Semasa pendudukan Jepun dan Inggeris tanah individu tidak pernah tergadai kerana pada ketika itu rakyat bebas memiliki tanah. Menurut kata nenek saya semasa jepun dan inggeris rakyat boleh teroka tanah seluas yang dia mahu kerana ketika itu belum wujud akta tanah.(sebelum merdeka)

Seterusnya kita teliti kata-kata berikut:

Kalaulah kiranya abang dan kakak dapat menyelami rasa hati Sultan Husin dan Temenggung Abdul Rahman yang ditipu John Crawfurd, aku kira mungkin ada sedikit penyesalan.

Di segi sejarah orang yang bertanggung jawab memberi peluang kemasukan inggeris di Singapura ialah ayahanda sultan Hussin bukan Sultan Husin. Begitu juga temenggong yang bertanggung menjemput inggeris berkuasa di Johor ialah Temenggong Ibrahim bukan temenggong Abdul Rahman.

Kita cuba baca ayat berikut salinan dari sejarah johor.

Kebetulan pasa masa itu (1855) negeri Johor dan seluruh kawasan selat tebrau, kuala sungai Johor dan segala pulaunya telah terserah, dengan perjanjian tahun 1855, diserah kepada Temenggung Daing Ibrahim dengan persetujuan British.

British menyokong kerana telah ada persetujuan daripada Temenggung Ibrahim untuk membenarkan British bertapak di Johor.

Kerana itu ada baiknya penulis menyemak dulu kebenaran fakta ini kerana kesilapan fakta boleh mengelirukan pembaca.

Dan kita teliti dialog berikut:

"Nilai tanah tu semakin tinggi, eloklah dijualkan. Lagipun Orang Korea itu mahu bangunkan kawasan itu" tambah Kak Ngah lagi

Mengikut kanun tanah negara, tanah rizab melayu tidak boleh dijual kepada bangsa asing. Malah setahu saya orang cina atau india pun tidak boleh membeli tanah rizeb melayu. Namun kalau tanah itu bukan rezab melayu boleh dijual kepada bukan bangsa melayu tetapi masih tidak boleh dijual kepada bukan warga negara malaysia.

"Tanah kita" hendak dijadikan padang Golf juga kurang meyakinkan kerana biasanya hanya tanah di tepi jalan raya sahaja dijadikan padang golf. Tanah yang terletak diluar bandar yang jauh dari kemudahan asas seperti tempat penginapan agak sukar hendak dijadikan padang golf.

Cerpen ini diakhiri dengan kata-kata berikut:

Kiranya keputusan itu meretakkan hubungan kita. Aku rela demi melihat anak buah ku juga mempunyai tanah untuk digempal bersama.

Runtuhnya institusi kekeluargaan disebabkan tanah pusaka memang biasa berlaku di kalangan masyarakat melayu. Si ayah dan si Ibu di alam sana tentu berdukacita bila anak-anak bergaduh atau berpatah arang disebabkan tanah pusaka yang ditinggalkan. Namun perkara sebegini selalunya terjadi sekiranya anak-anak tidak berpelajaran tinggi dan ekonomi mereka tidak kukuh. Sebaliknya jika anak-anak mendapat pendidikan tinggi dan mendapat jawatan yang baik biasanya mereka tidak berebutkan tanah pusaka.

Sesungguhnya MK Riza boleh menjadikan cerpen ini sebuah cerpen yang lebih menarik dan bertenaga kerana temanya cukup besar. Mungkin lebih menarik jika peleraian cerpen ini mengajar orang melayu supaya jangan bersengketa adik beradik kerana tanah. Kita sudah biasa dengar adik beradik berkelahi berebutkan tanah pusaka. Alangkah baiknya jika MK RIZA mendidik pembaca menjadikan tanah pusaka mengeratkan lagi hubungan adik betradik bukan menjadi punca berpecah belah.

Dalam kisah ini alangkah baiknya jika watak "Aku" atau Iskandar Zulkarnain bersetuju dengan cadangan kakak dan abang untuk memajukan tanah itu dengan cara mereka sendiri yang usahakan melalui kaedah "usahasama". . Kerana abang ekonominya teguh dan kakak pula bersuamikan orang besar apa salahnya watak "Aku" mencadangkan supaya mereka sendiri yang majukan tanah itu?. Sebagai orang besar suami kakak tentu mudah untuk mendapatkan bantuan dari pihak tertentu untuk menjalankan ushasama memajukan tanah tersebut. Dengan ini hak tanah itu masih milik mereka.

Hasrat aku hendak mendirikan sekolah dan rumah anak yatim juga tidak terhalang kerana tanah itu luas sehingga boleh dijadikan padang Golf.

Saya harap MK RIZA akan terus menulis kerana padanya ada bakat dan kesungguhan. Saya juga berharap MK RIZA berhati-hati dalam sistem ejaan. Contohnya ayat " Merasa" sepatutnya "Berasa" begitu juga dalam pemilihan perkataan yang sesuai. Contohnya perkataan " tanah untuk digempal bersama". Perkataan "digempal" itu rasanya kurang sesuai.

Seperti yang kita maklum pemilihan perkataan untuk mendukung sesuatu idea amatlah penting dan mestilah diperhatikan dengan teliti kerana bahasa umpama darah daging cereka. Harap maaf jika saya tersilap.

Sekian terima kasih.

Abdul Latip Talib
Jelebu
4.3.2004.



Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?