Saturday, January 15, 2005

 

ULASAN CERPEN TINTASUKMA

SOROTAN CERPEN WANITA YANG BERMUKENAH OLEH TINTASUKAM.


Cerpen ini menarik kerana pengarang berjaya menggarap nya dengan baik dan teliti. Saya katakan baik kerana berjaya melukiskan pemikiran watak-wataknya dengan berkesan. Pengarang juga teliti dalam menimbulkan sebab akibat dan berjaya menyelesaikan cerita dengan menarik.

Pengarang melalui Cerpen ini melontarkan ideanya melalui 4 bahagian dari sudut pandangan yang berbeza. Pertama, pembaca dapat menyelami pemikiran dan sudut pandangan watak seorang isteri bernama Solehah yang berasa kecewa kerana suaminya ingin berpoligami. Dan wanita yang ingin dikahwini suaminya ialah sahabat baiknya sendiri. Wanita itu juga bekas kekasih Loqman, suami Solehah dan mereka pernah bertunang.

Memang pernah berlaku sahabat baik menjadi wanita bermukenah. Namun dalam kisah ini, Luqman ingin mengahwini Rabiah kerana simpati dan ingin membimbing wanita itu ke jalan yang benar. Satu alasan yang biasa bagi suami yang ingin berpoligami. Kebetulan pula Rabiah telah insaf dan ingin bertaubat kerana dia pernah melakukan satu pekerjaan yang paling tertua di dunia.

Bahagian kedua cerpen ini dari sudut pandangan Rabiah. Dia insaf di atas keterlanjurannya dan ingin kembali ke pangkal jalan. Sekaligus dia ingin merebut semula kasih dari Luqman yang pernah dimilikinya suatu ketika dahulu. Namun kerana ingin hidup mewah dia sanggup meninggalkan tunangnya.

Bahagian ketiga cerpen ini dari sudut pandangan Loqman. Pembaca dapat menyelami fikiran Lokman kenapa apa dia ingin mengahwini Rabiah walaupun dia tahu wanita itu bekas seorang pelacur.

Dan di bahagian ke empat cerpen ini iaitu bahagian terakhir pertemuan Loqman dengan Rabiah. Loqman akhirnya membatalkan hasrat hatinya ingin berkahwin dengan Rabiah. Dan Rabiah bersetuju demi kebahgiaan sahabatnya.

Namun pengarang kurang berjaya meyakinkan pembaca kenapa Loqman tiba-tiba bertukar fikiran sedangkan dari mula dia benar-benar ingin mengahwini Rabiah. Malah dia sudah berjaya mendapat persetujuan dari Solehah, isterinya.

Begitu juga pembaca tertanya-tanya kenapa Rabiah tiba-tiba bertukar fikiran sedangkan pada mulanya dia bersungguh-sungguh ingin merebut cintanya semua dari Loqman. Dia hampir berjaya tetapi kenapa tiba-tiba dia berubah fikiran.

Mungkin kalau pengarang dapat menyelami lebih mendalam fikiran Loqman dan Rabiah di saat akhir maka tentulah cerpen ini amat menarik. Pada saya tindakan Solehah meninggalkan rumah bukanlah satu sebab yang kukuh untuk Loqman berubah fikiran. Begitu juga dengan Rabiah.

Walau bagaimanapun pengarang berjaya menimbulkkan konflik antara tiga watak utama iaitu Solehah, seorang isteri yang baik, Loqman seortang suami yang baik dan Rabiah seorang wanita yang baik juga kerana ingin bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Konflik timbul apabila Loqman dan Rabiah ingin berkahwin. Konflik dalam diri Solehah yang teruk.

Tindakan Solehah merestui suaminya ingin mengahwini bekas seorang pelacur adalah satu kesilapan. Tindakan loqman ingin mengahwini bekas seorang pelacur juga adalah satu kesilapan. Namun tindakan Rabiah bertaubat dan ingin kembali ke pangkal jalan adalah satu tindakan yang betul.

Pengarang berjaya menyelesaikan konflik ini dengan cara yang bijak. Kalau pengarang tamatkan cerpen ini dengan perkahwinan antara Loqman dengan Rabiah maka cerita tidak selesai kerana masalah baru bermula.

Rabiah insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan disebabkan sahabat baiknya Marina, yang sama-sama menjadi pelacur mati akibat pengidap penyakit HIV/AID sejenis penyakit yang lumrah menjangkiti pelacur.

Dalam cerpen ini, Rabiah insaf dan ingin bertaubat kerana menyedari dirinmya juga terdedah dengan jangkitan HIV/AID. Kerana itu tindakannya ingin bertaubat satu cara yang baik tapi hasratnya ingin berkahwin dengan Loqman satu tindakan tidakj baik kerana pasti mengudang masalah.

Apa akan jadi kepada Lokman dan Solehah kalau Rabiah memang seorang pengidap HIV/AID??.

Tetapi pengarang mengakhiri Cerpen ini dengan kegembiraan apabila Loqman kembali hidup bahagia dengan Solehah. Dan Rabiah membawa dirinya.

Tintasukma memang ada bakat menulis cerpen. Kalau dia rajin menulis dan terus belajar untuk meningkatkan mutu karyanya saya yakin dia akan dapat menghasilkan cerpen yang lebih baik di masa akan datang.


6.8.2004
12.15 malam.



 

ULASAN CERPEN MERENUNG SEJENAK

ULASAN CERPEN MERENUNG SEJENAK
OLEH ABDUL RAUF.

MERENUNG SEJENAK membawa persoalan agama dan sosial. Fitrah manusia sejak dilahirkan memang ada kecenderungan beragama. Kerana itu tidak hairan jika seseorang yang kehidupannya asyik mengejar harta tetapi akhirnya bila sudah tua akan insaf dengan kelalaiannya dan kembali kepada tuntutan beragama.

Begitulah dengan Datuk Hisyam watak utama dalam cerpen ini, seorang ahli korporat yang berjaya tetapi leka mengejar harta dunia sehingga berasakan dirinya kurang dengan amal ibadat. Dia juga sedar kurang memberi didikan agama kepada anak-anak. Tetapi akhirnya dia berasa insaf dan berusaha untuk beramal ibadat dengan pergi ke surau untuk solat berjemaah.

Namun ketika dalam solat dia masih teringat isterinya Datin Sofiah yang kuat berleter, teringat Liza setiausahanya yang genit dan sentiasa menurut perintah. Teringat masalah perniagaannya dan terbayang semasa bermesyuarat dengan kakitangannya.

Bayangan peristiwa sebegitu memang selalu dialami oleh mereka yang sedang bersembahyang apatahlagi orang seperti Datuk Hisyam yang asyik mengejar harta dunia.

Latar masa cerpen ini lebih kurang 10 minit sahaja iaitu bermula selepas Datuk Hisyam mengangkat takbir dalam sembahyang lalu dia terbayang peristiwa-peristiwa tersebut sehingga dia memberi salam.

Di segi Teknik cerpen ini menarik kerana pengarang berjaya mempelbagaikan tekniknya.

Namun sebagai pembaca kita tertanya –tanya siapa Zety dan Fenda yang sedang duduk berdua-duaan di taman bunga. Apa kena mengena dua remaja itu sampai mengganggu solat Datuk Hisyam?. Mungkinkah mereka anak Datuk Hisyam?. Atau itu salah satu babak dalam drama tv yang pernah ditontonnya.

Seperkara lagi kalau dalam sembahyang seseorang itu boleh saja terbayang atau teringat sesuatu peristiwa yang pernah dilaluinya. Kata orang kekadang barang yang hilang pun boleh teringat masa kita solat. Tetapi seseorang itu jarang membayangkan sesuatu yang akan berlalu seperti yang digambarkan oleh pengarang. Contohnya;

Dia tidak puas hati lantas melebarkan khittah menghampiri pasangan kekasih yang kelihatan seperti sedang bergebang mesra itu. Gegendang telinganya semakin jelas menangkap butir bicara perbualan mereka.

"Zety, aku cinta padamu," sang teruna memasang janji. Si dara melebar senyum, merasakan detik-detk itu terlalu indah dan antara yang paling berharga dalam hidupnya.

"Fendi, aku juga mencintaimu," si dara pula mengukuh setia. Pasangan kekash itu hanyut dalam kepalsuan percintaan. Terkebil-kebil mata Dato’ Hisyam mememrhati gelagat mereka berdua.

Pada pendapat saya Datuk Hisyam tentulah tidak dapat membayangkan urutan peristiwa itu dalam sembahyangnya. Apatahlagi terdengar dialog Zety dan Fendi. Kecuali kalau peristiwa tersebut sudah berlaku. Tidak mungkin juga episod drama yang ditonton oleh Datuk Hisyam kerana ayat bermula seperti berikut;

Dato Hisyam memerhati segenap ruang taman itu. Matanya tersangkut pada dua batang tubuh yang sedang berdua-duaan di atas bangku panjang di satu sudut taman yang nyaman itu. Dia mengamat-amati pasangan kekasih (tekanya) itu dari belakang. Kemudian, dia mengetap bibirnya yang sedikit kering

Cerpen ini bermula dengan gambaran yang begitu menarik menceritakan Datuk Hisyam sedang bersembahyang.

Dato’ Hisyam mengangkat kedua belah tangan ke paras telinga lantas memeluk tubuhnya yang gempal dan berdaging pejal itu. Angin malam mencucuk-cucuk badannya dengan kuku kedinginan

Dan cerpen ini diakhir dengan ayat berikut;

Dan malam itu, buat kesekian kalinya, Dato’ Hisyam menunaikan solat taubat lapan rakaat empat salam. Datin Safiah ternanti-nanti kepulangan suaminya

Pada pendapat saya ayat “ buat kesekian kalinya” itu boleh mengelirukan pembaca. Ini kerana penutup ayat itu “ datin safiah ternanti-nanti kepulangan suaminya.”

Lebih logik kalau ayat itu “ buat pertama kalinya”. Kalau buat kesekian kalinya menggambarkan Datuk Hisyam telah berkali-kali melaklukan solat taubat lapan rakaat. Tetapi kenapa isterinya ternanti-nanti kepulangan siuaminya sedangkan perkara itu sudah kesekian kali dilakukannya.

Dan lagi lebih elok kalau Datuk Hisyam melakukan solat sunat taubat itu di rmah bukan di surau supaya memberi keinsafan kepada isterinya yang masih lalai.


Friday, January 14, 2005

 

ULASAN CERPEN SUKMA SEORANG IBU OLEH AMIZAKUSYRI

ULASAN CERPEN SUKMA SEORANG IBU KARYA AMIZAKHUSYRI.

Sdr Amizakhusyri antara penulis muda berbakat yang rajin berkarya. walaupun sibuk dengan pelajaran namun dia masih sempat meluangkan masa untuk menulis dan sejak menyertai esastera.com pada setiap bulan ada sahaja cerpen yang disiarkannya.

Sukma seorang ibu sebuah cerpen yang agak menarik. Ia mengesahkan bicara hati seorang ibu tunggal mengenai anak perempuannya (anak tunggal) yang berjaya mendapat pendidikan tinggi di luar negara dan berkahwin dengan seorang jutawan.

Namun hati ibu rasa tersayat dengan kelakuan anaknya yang kurang sopan dengan pakaian serta kelakuan yang bukan lagi menggambarkan wanita Melayu yang bersopan santun. Namun kasih seorang ibu tetap berkekalan hingga ke akhir hayat. Kisah diakhiri bilamana ketika ibu sakit tenat di hospital Huda datang dengan pakaian menutup aurat serta berjaya membuat hati ibu tenang sebelum menghembus nafasnya yang terakhir.

Cerita ini menjadi lebih menarik kalau diceritakan sepintas lalu bagaimana Huda boleh insaf dan kembali ke pangkal jalan. Benar hidayah itu daripad Allah swt namun mesti ada sebab musababnya.

Di segi bahasa cerpen ini menarik kerana pengarang bijak menggunakan bahasa yang lancar namun pengarang yang mendapat pendidikan di negara Arab suka memasukkan beberapa perkataan Arab yang belum ada dalam kamus bahasa melayu antaranya perkataan bustan yang berarti taman atau kebun.

Terdapat juda sedikit kesilapan mengenai anak soleh dan anak solehah. Kerana Huda perempuan maka Sepatutnya anak yang solehah bukan anak yang soleh.

CADANGAN:

Saya ada bebarapa cadangan dan pengarang boleh menulisnya semula dalam versi kedua. Itupun kalau pengarang bersetuju dengan cadangan saya ini atau boleh sahaja dikekalkan dalam bentuk asalnya.

Pada Permulaan cerpen ini pengarang menulis seperti berikut:

…Ketika ovum lagi, kau telah meredah ovari yang tertutup rapat, memecah ovum sebelum menarik perhatian spermatozoa….

Pada pendapat saya lebih tepat kalau ayat itu ditulis begini:

…ketika masih sperma, kau telah meredah lautan cecair menuju ke ovari yang tertutup rapat, memecah kulit ovum sebelum berlakunya penyatuan antara spermatozoa….

Di hujung perenggan ini pengarang menulis "itulah kejayaan pertama…."

Sebaiknya disambung lagi seperti berikut:

Kejayaanmu yang kedua apabila mendapat pendidikan di luar negara…dan seterusnya….

Mengenai persoalan apakah yg menyebabkan Huda berubah sikap dari memakai pakaian menjolok mata ke berbaju kurung dan penuh sopan?. Juga persoalan kenapa Huda menghantar anaknya Tiara ke kampung untuk di jaga oleh ibunya sedangkan dia kaya raya punya rumah banglo dan kolam renang?. Biasanya orang seperti itu ada pengasuh atau pembantu rumah. Tidak mungkin Huda sanggup membiarkan anaknya tinggal di rumah usang. Dan kenapa Huda beriya sangat hendak menjual tanah sawah 3 relung sedangkan suaminya seorang jutawan dan dia punya pekerjaan yang baik?.

Saya cadangkan persoalan pertama itu boleh terjawab sekiranya pengarang melalui sukma ibu teringat semasa dia menunaikan fardu haji ke tanah suci Mekah lalu dia berdoa di depan kaabah supaya Allah memberi taufik hidayah kepada Huda.

Tujuan Huda hendak menjual tanah sawah 3 relung itu supaya ibunya sudi tinggal bersama dengannya di banglo mewah untuk menjaga Tiara. Bukan lagi tinggal di rumah usang. Atau lebih baik kalau Tiara bercadang hendak memajukan tanah sawah 3 relung itu untuk dijadikan projek perumahan tetapi ibunya tidak setuju kerana tanah sawah itu banyak meninggalkan kenangan manis ketika bersama suaminya dahulu.

Dan kalau sdr mahu cerpen ini dinilai untuk hadiah sayembara cerpen sempena pilihan raya sdr buat sedikit lagi tambahan. Contohnya, ibu Huda didatangi JKKK kampung untuk mencalunkan Huda sebagai calun pilihan raya. Tambahan pula Huda berpelajaran tinggi dan suaminya seorang jutawan menyebabkan penduduk kampung mencadangkan namanya dicalunkan sebagai wakil rakyat mereka. Itu juga boleh menjadi sebab kenapa Huda terpaksa mengubah sikapnya untuk menarik perhatian pengundi.

Di akhir cerpen ini lebih baik jika suami Huda juga turut berada di sisi ibu mertuanya sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.

Pengarang ada menulis kata-kata berikut:

Lebih baik kaukotor kerana selut di sawah bendang dari kotor kerana noda dan nista terlarang. Lebih baik jika kau seorang gadis tidak berpelajaran tetapi sentiasa menjaga susila sebagai orang Melayu.

Saya rasa ayat tersebut adalah kata-kata kunci kepada cerpen ini kerana bersesuaian dengan tajuknya Sukma Seorang Ibu. Pada pendapat saya lebih baik ayat ini di ulang sekali lagi oleh ibunya di depan Huda sebelum dia menghembuskan nafas terakhir…

Abdullatip
16.3.2004



 

ULASAN CERPEN TANAH KITA OLEH MK RIZA



ULASAN CERPEN TANAH KITA KARYA MK RIZA

PENDAHULUAN

MK RIZA seorang penulis muda berbakat yang punya masa depan di bidang penulisan. Dengan usianya yang masih muda di tambah dengan ilmu bantu yang diperolehinya semasa menuntut di universiti dan sebagai anak didik kepada En. Salleh Rahamad dan Prof Rahman Shaari, memberi kelebihan kepada beliau untuk lebih berjaya. Namun pesanan ikhlas daripada saya sebagai penulis baru jangan cepat berasa puas hati dengan karya yang dihasilkan. Jangan meninggi diri dengan sedikit kejayaan dan paling penting jangan melenting bila karya di kritik.

Dalam hubungan ini saya masih ingat pesanan DR Othman Puteh semasa membimbing penulis muda dalam satu bengkel penulisan yang dianjurkan oleh GAPENA di muara Sungai Duyung Melaka. Beliau meluahkan rasa kesal kerana ada diantara penulis muda yang di bawah asuhannya apabila sudah terkenal namanya dan menang banyak sayembara mula berasa megah dan lupa diri. Menurut beliau Sikap seperti itu hanya merugikan diri penulis itu sendiri

Menurut beliau, pernah suatu ketika, beliau menjemput anak didiknya itu berkongsi pengalaman dengan pelajar di universiti tempat beliau bertugas. Kali pertama penulis muda itu menolak dengan alasan sibuk. Jemputan kali kedua penulis tersebut bertanya berapa bayaran yang akan dia dapat. Mungkin inilah antara sifat meninggi diri yang dimaksudkan oleh DR Othman Puteh.

Sehubungan dengan kritikan pula, penulis terkenal A. Rahim Abdullah, semasa menyampaikan ceramahnya di Seremban mengatakan Sebagai penulis kita jangan mudah melenting bila karya kita diulas atau dikritik oleh pembaca. Terserah kepada pembaca untuk menilai mengikut citarasa dan kemampuannya sendiri.

ULASAN CERPEN TANAH KITA

CERPEN Tanah Kita yang ditulis oleh MK RIZA ini secara harafiahnya memang benar-benar membawa makna bahawa kita mesti mempertahankan hak kita apatahlagi tanah pusaka yang kita warisi daripada orang tua kita. Lebih-lebih lagi kalau sudah ada wasiat dari seorang ayah supaya tanah itu dipertahankan dan jangan terlepas ke tangan orang lain.

Melalui cerpen ini MK RIZA mendidik pembaca supaya cintakan tanah air dan mesti sanggup mempertahankannya.

Dengan menggunakan watak orang pertama "aku" MK RIZA memulakan cerpennya dengan monolog dalaman. Aku berdailog dengan dirinya betapa kesalnya dia dengan sikap pembesar melayu zaman dahulu yang rela menggadaikan tanah air kepada penjajah demi untuk mendapat kesenangan peribadi seperti katanya;

" Aku kira Sultan Abdullah juga ada rasa bersalah./ sehingga Pulau Pinang diambil Inggeris/. Aku hitungi akan rasa bersalahnya Sultan Husin sehingga Singapura ditadbir William Farquhar."

Dari peristiwa sejarah itulah "Aku" atau nama sebenarnya Iskandar Zulkarnain berazam untuk mempertahankan tanah kita yang diwarisi dari arwah ayahnya dari berpindah milik kepada bangsa asing. (orang korea)

Keseluruhan cerpen ini hanya mempunyai beberapa adegan sahaja. Bermula dengan adegan pertama watak "aku" menaiki bas dan semasa dalam perjalanan pulang ke kampung "aku" bermonolog.

Bagi MK RIZA runtuhnya bangsa Melayu kerana lupa sejarahnya. Hakikat tersebut memang benar dan memang tidak dinafikan banyak tanah hak orang melayu tergadai atau terlepas ke tangan bangsa asing sehingga pihak pemerintah terpaksa menggubal undang-undang akta tanah yang mana tanah rizeb melayu tidak boleh dijual kepada bangsa asing.

Kerana asyiknya memikirkan masalah tanah melayu menyebabkan watak aku tidak menghiraukan panggilan telefon dari Saffiyah kekasihnya. Dan konflik cerpen ini bermula bila watak aku mengheret abang dan kakak dalam persoalan yang sedang menghantui fikirannya.

Watak aku berpendapat wujudnya perbezaan pendapat antara dia dengan abang kandungnya kerana pendidikan yang mereka perolihi. Kerana abang belajar di luar negara maka semangat cinta kepada "tanah kita" lansung tidak ada. Sebaliknya "Aku" berasa cintanya lebih kerana mendapat pendidikan di dalam negeri.

Cuba kita baca kata-kata berikut:

Aku kira ayah juga silap menghantar abang ke Amerika. Menjelajahi pemikiran computer science yang mencampakkan dia terlalu ke hadapan. Sehingga lupa menoleh ke belakang. Melupakan sejarah dan rasa bangsanya. Terlalu lama di negeri orang . Terpengaruh dengan hidup barat. Ideologi kebaratan.

Namun secara realitinya tidak semestinya mereka yang menuntut di luar negara kurang rasa kecintaannya terhadap tanah air. Malah terdapat penuntut yang belajar di luar negara mempunyai semangat patriotik yang tinggi atas kesedaran setelah berada di negara penjajah.

Timbul juga persoalan jika si abang sudah teguh ekonominya dan kakak pula bersuamikan orang besar berpangkat tinggi kenapa masih sanggup hendak menjual tanah pusaka peninggalan arwah ayah mereka yang mana sekaligus membelakangkan wasiat ayah?. Tambahan pula dia berpelajaran tinggi.

Seterusnya pembaca dibawa ke adegan ketiga (imbas kembali) yang agak laju di mana watak aku teringat pertengkaran dengan abangnya 3 tahun yang lalu. Kemudian teringat dialog dengan arwah ayah sebelum dia meninggal.

"Ah… abang, nampaknya matamu dibutakan bangsa barat," hatiku berkata sendirian.

"Tiada apa yang dapat ayah perjuangkan kecuali tanah ini. Kau mungkin lebih mengerti akan maksud ayah," kata-kata arwah ayah yang masih terbenam di ingatan ini.

Kenapa watak aku beriya sangat hendak mepertahankan tanah pusaka peninggalan arwah ayah mereka?. Adakah kerana kesedaran atau dia berasa rendah diri terhadap abang dan kakaknya?. Kalau watak aku benar sayangkan tanah itu kenapa dibiarkan menjadi terbiar.

Mungkin juga Iskandar mempertahankan tanah itu kerana berpegang kepada wasiat ayah dan tambahan pula nama beliau dicacat sebagai pewaris pertama. Atau lebih tepat lagi nama beliau tercacat dalam geran tanah tersebut. Kerana itu abang dan kakak tidak dapat menjualnya melainkan dengan persetujuan adik.

Atau mungkinkah watak "Aku" sengaja hendak menunjukkan ego kepada kakak dan abang kerana ayah memberi nama Iskandar Zulkarnain yang berarti penyelamat sebuah tanah?.

Cuba kita teliti pula kata-kata berikut:

Seperti mana wasiat ayah, aku adalah pemutus dalam setiap perkara tanah kami. Walau aku bukan anak sulong. Apakah abang dan Kak Ngah terasa hati ?

Memang jarang berlaku si ayah menamakan anak yang bongsu menjadi pewaris tunggal tanahnya. Biasanya ayah namakan anak yang sulung. Kalau di negeri sembilan mungkin boleh terjadi kalau anak bongsu itu anak perempuan.

Dalam kisah ini abang jadi kebanggaan keluarga kerana belajar di luar negara dan si kakak pula berkahwin dengan orang besar berjawatan tinggi. Biasanya secara logik si ayah akan lebih menjaga perasaan si abang yang berjawatan tinggi dan si kakak yang bersuamikan orang besar berbanding anak yang bongsu.

Seterusnya cuba kita teliti dialog berikut:

"Ibu, kenapa tak larang Abang Long jual tanah tu".

Dialog ini memberi gambaran seolah tanah itu sudah dijual sedangkan hakikatnya masih belum tergadai. Sepatutnya dialog itu begini;

" Ibu, kenapa tak larang Abang Long hendak menjual tanah itu?"

Dengan adanya perkataaan "hendak" itu membawa maksud tanah tersebut baru hendak dijual.

Kita teliti pula dialog berikut:

"Ayah dan ibu sama-sama terokai tanah tersebut. Kami bekerja kuat. Biar Jepun dan Inggeris yang datang kami pertahankan bersama. Kami tak rela melihat tanah generasi akan datang diperkosa orang asing".

Dialog ini kurang meyakinkan kerana masalah tanah kepunyaan individu jatuh ke tangan bangsa asing hanya berlaku selepas merdeka. Semasa pendudukan Jepun dan Inggeris tanah individu tidak pernah tergadai kerana pada ketika itu rakyat bebas memiliki tanah. Menurut kata nenek saya semasa jepun dan inggeris rakyat boleh teroka tanah seluas yang dia mahu kerana ketika itu belum wujud akta tanah.(sebelum merdeka)

Seterusnya kita teliti kata-kata berikut:

Kalaulah kiranya abang dan kakak dapat menyelami rasa hati Sultan Husin dan Temenggung Abdul Rahman yang ditipu John Crawfurd, aku kira mungkin ada sedikit penyesalan.

Di segi sejarah orang yang bertanggung jawab memberi peluang kemasukan inggeris di Singapura ialah ayahanda sultan Hussin bukan Sultan Husin. Begitu juga temenggong yang bertanggung menjemput inggeris berkuasa di Johor ialah Temenggong Ibrahim bukan temenggong Abdul Rahman.

Kita cuba baca ayat berikut salinan dari sejarah johor.

Kebetulan pasa masa itu (1855) negeri Johor dan seluruh kawasan selat tebrau, kuala sungai Johor dan segala pulaunya telah terserah, dengan perjanjian tahun 1855, diserah kepada Temenggung Daing Ibrahim dengan persetujuan British.

British menyokong kerana telah ada persetujuan daripada Temenggung Ibrahim untuk membenarkan British bertapak di Johor.

Kerana itu ada baiknya penulis menyemak dulu kebenaran fakta ini kerana kesilapan fakta boleh mengelirukan pembaca.

Dan kita teliti dialog berikut:

"Nilai tanah tu semakin tinggi, eloklah dijualkan. Lagipun Orang Korea itu mahu bangunkan kawasan itu" tambah Kak Ngah lagi

Mengikut kanun tanah negara, tanah rizab melayu tidak boleh dijual kepada bangsa asing. Malah setahu saya orang cina atau india pun tidak boleh membeli tanah rizeb melayu. Namun kalau tanah itu bukan rezab melayu boleh dijual kepada bukan bangsa melayu tetapi masih tidak boleh dijual kepada bukan warga negara malaysia.

"Tanah kita" hendak dijadikan padang Golf juga kurang meyakinkan kerana biasanya hanya tanah di tepi jalan raya sahaja dijadikan padang golf. Tanah yang terletak diluar bandar yang jauh dari kemudahan asas seperti tempat penginapan agak sukar hendak dijadikan padang golf.

Cerpen ini diakhiri dengan kata-kata berikut:

Kiranya keputusan itu meretakkan hubungan kita. Aku rela demi melihat anak buah ku juga mempunyai tanah untuk digempal bersama.

Runtuhnya institusi kekeluargaan disebabkan tanah pusaka memang biasa berlaku di kalangan masyarakat melayu. Si ayah dan si Ibu di alam sana tentu berdukacita bila anak-anak bergaduh atau berpatah arang disebabkan tanah pusaka yang ditinggalkan. Namun perkara sebegini selalunya terjadi sekiranya anak-anak tidak berpelajaran tinggi dan ekonomi mereka tidak kukuh. Sebaliknya jika anak-anak mendapat pendidikan tinggi dan mendapat jawatan yang baik biasanya mereka tidak berebutkan tanah pusaka.

Sesungguhnya MK Riza boleh menjadikan cerpen ini sebuah cerpen yang lebih menarik dan bertenaga kerana temanya cukup besar. Mungkin lebih menarik jika peleraian cerpen ini mengajar orang melayu supaya jangan bersengketa adik beradik kerana tanah. Kita sudah biasa dengar adik beradik berkelahi berebutkan tanah pusaka. Alangkah baiknya jika MK RIZA mendidik pembaca menjadikan tanah pusaka mengeratkan lagi hubungan adik betradik bukan menjadi punca berpecah belah.

Dalam kisah ini alangkah baiknya jika watak "Aku" atau Iskandar Zulkarnain bersetuju dengan cadangan kakak dan abang untuk memajukan tanah itu dengan cara mereka sendiri yang usahakan melalui kaedah "usahasama". . Kerana abang ekonominya teguh dan kakak pula bersuamikan orang besar apa salahnya watak "Aku" mencadangkan supaya mereka sendiri yang majukan tanah itu?. Sebagai orang besar suami kakak tentu mudah untuk mendapatkan bantuan dari pihak tertentu untuk menjalankan ushasama memajukan tanah tersebut. Dengan ini hak tanah itu masih milik mereka.

Hasrat aku hendak mendirikan sekolah dan rumah anak yatim juga tidak terhalang kerana tanah itu luas sehingga boleh dijadikan padang Golf.

Saya harap MK RIZA akan terus menulis kerana padanya ada bakat dan kesungguhan. Saya juga berharap MK RIZA berhati-hati dalam sistem ejaan. Contohnya ayat " Merasa" sepatutnya "Berasa" begitu juga dalam pemilihan perkataan yang sesuai. Contohnya perkataan " tanah untuk digempal bersama". Perkataan "digempal" itu rasanya kurang sesuai.

Seperti yang kita maklum pemilihan perkataan untuk mendukung sesuatu idea amatlah penting dan mestilah diperhatikan dengan teliti kerana bahasa umpama darah daging cereka. Harap maaf jika saya tersilap.

Sekian terima kasih.

Abdul Latip Talib
Jelebu
4.3.2004.



 

ULASAN CERPEN MK RIZA

SOROTAN CERPEN PERTELINGKAHAN JARI-JARI DAN SAYAKAH YANG BERSALAH KARYA MK.RIZA

MK RIZA adalah nama baru di esastera.com. Menurut beliau
Cerpen Pertelingkahan Jari-jari adalah karya pertama di alam maya. Ada kemungkinan sebelum ini karya beliau pernah tersiar di akhbar atau majalah.

Membaca dua cerpen yang disiarkan saya berpendapat MK RIZA memang berbakat di bidang penulisan cerpen. Beliau dapat menyampaikan idea dan persoalan melalui cerpen ini dengan baik dan lancar. Namun beliau agak terlalu kasar dan berterus terang dalam menyatakan "Kemelut dalam diri dan minda".

Di ruangan ini esastera.com membuka ruang dan peluang kepada golongan cerpenis untuk mempamerkan karya mereka dalam genre cerpen. Penulis diberi kebebasan untuk berkarya namun perkara sensitif yang menyentuh soal agama dan politik tanah air yang keterlaluan memang tidak digalakan.

Pertelingkahan jara-jari adalah cerpen simbolik berunsur politik yang menjadikan jari-jari sebagai watak cerita. Dalam cerpen ini semua jari-jari boleh berkata-kata menyatakan pendapat serta pandangan masing-masing.

Antara sesama jari bertelingkah, masing-masing menyatakan kelebihan sindiri dan mendedahkan keburukan pihak lain. Tujuannya hanya untuk merebut kuasa.

Kata ibu jari, dialah yang paling layak jadi pemimpim kerana dia lebih besar dan punya peranan yang penting. Tanpa ibu jari maka jari yang lain tidak berfungsi. Tetapi kata jari telunjuk pula, dia paling layak kerana dialah yg selalu digunakan untuk menunjuk sesuatu termasuk membaca tahiyyat awal dan akhir dalam sembahyang. Namun dibantah oleh jari hantu, katanya jari telunjuk hanya berlagak alim sedangkan nafsunya paling serakah.

Kata jari manis pula dia yang paling layak jadi pemimpin kerana padanya disarungkan cincin pertunangan dan cincin perkahwinan. Jari manis lambang ikatan percintaan dan kasih sayang. Jari kelingking yang merasa paling kecil cuba bergabung dengan jari lain. Kerana pertelingkahan yang tidak berkesudahan, akhirnya tangan mengambil keputusan memotong jari-jari tersebut.

Jari-jari dalam cerpen ini merupakan sindiran kepada mereka yang berebut untuk menjadi pemimpin. Masing-masing mengnggap dirinya yang paling layak dan sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapat kuasa. Rakyat akhirnya hilang kepercayaan lalu membuat keputusan menolak merea melalui pilihanraya.

Cerpen kedua "Sayakah Yang Bersalah" juga membicarakan soal politik semasa. Kisah bermula bilamana "saya" seorang penulis yang juga seorang pekerja makan gaji, ingin bersendirian tidak mahu diganggu oleh sesiapa. Entah kenapa tiba-tiba "saya" merasa tangannya sakit dan kulitnya bertukar merah lalu "saya" memikirkan sebab musababnya.

Mula-mula "saya" menyangka sakit itu akibat derhaka kepada ibunya kerana lama tidak bertanya kabar berita. Atau kemungkinan berbahas kisah politik dengan kawannya. Tetapi akhirnya barulah "saya" sedar kesilapannya kerana terpujuk oleh seorang tokoh politik wanita yang mengumpannya menjadi penulis upahan. Dia terpaksa menerima pelawaan itu kerana ketika itu dia kesempitan duit untuk membayar sewa rumah, kereta dan lain-lain.

JUDUL/TAJUK

Judul atau tajuk merupakan faktor yang penting dalam cereka kerana selain menggambarkan keseluruhan cerita, tajuk juga boleh menarik perhatian pembaca.

Tajuk " Pertelingkahan jari-jari" menarik kerana membawa pengertian yang pelbagai. Berdasarkan tajuk sahaja pembaca ingin mengetahui apakah persoalan yang ingin disampaikan oleh pengarang.

TEKNIK

Walaupun pengarang menggunakan teknik biasa namun pergerakan ceritanya pantas dan lancar. Cuba kita perhatikan permulaan cerpen ini;

Gebar di kaki ditendang jauh-jauh. Mataku makin berat untuk dibuka. Seolah-olah melekat kejap. Setelah puas mencuba, mataku terpejam semula lantaran cahaya siang memancar ke retina. Aku menggosok-gosok. Jam di sebelah kiri ditatapi.

Ayat ini menggambarkan suasana waktu pagi, latar tempat dalam rumah, watak aku tidur keseorangan menyebabkan selalu kesiangan. Watak aku tidak menyalahkan diri sendiri tetapi menyalahkan Syaitan seperti katanya:

"Syaitan itu menang besar. Agaknya sekarang sedang bersukaria kerana berjaya melekakan seorang lagi cucu Adam. Atau barangkali syaitan itu telah dianugerahi pangkat oleh ketuanya."

WATAK

Setiap pengarang mempunyai cara tersendiri untuk menggambarkan watak dalam cerekanya. Ada yang secara lansung seperti, dia seorang yang jujur, namun MK RIZA menceritakan kejujuran watak "saya" secara tidak lansung.

Aku enggan ke klinik untuk mendapatkan M.C. Buat apa menipu?.

Watak aku juga digambarkan sebagai seorang yang bersifat kritis, Agaknya doktor kerajaan memang pakar. Hanya memerlukan pen dan mulut. Hebat!

PERSOALAN

Setiap pengarang mempunyai idea atau persoalan yang hendak disampaikan kepada pembaca. MK RIZA memperkatakan isu politik dalam karyanya dengan menggunakan jari-jari sebagai wadah untuk menyampaikan maksudnya.

Jari telunjuk diibaratkan mewakili pemimpin agama seperti katanya;

"…negara yang diredhai Tuhan ialah negara yang diperintah oleh orang agama. Golongan para ulama pewaris para nabi…"

Jari manis pula mewaiki pemimpin sekular seperti katanya;

"… Alim bukannya bererti pandai memerintah. Negara bukan hanya perlukan orang alim tetapi kerjasama daripada intelektual" Jari Manis memprotes. "Lagipun orang alim sekarang hanya berselindung di sebalik jubah dan serban mereka. Sedangkan mereka punya nafsu. Punya libido yang lebih ganas,"

Jari hantu pula mewakili pemimpin di atas pagar yang kelihatan seolah tidak memihak namun teringin juga mendapat kuasa.

"Golongan seperti mereka tidak layak memimpin. Dunia memerlukan pemimpin yang adil dan seimbang," Jari Hantu bangun berucap dengan mengawal suaranya. "Cuba kalian lihat aku. Aku berada di tengah-tengah kalian. Ini menunjukkan aku telah ditetapkan oleh ilahi untuk memberi keseimbangan kepada kalian…"

Dan ada pula pemimpin yang bersikap berdiri di atas pagar seperti jari manis;

"Dalam hal ini, aku telah bergabung dengan Jari Anak untuk membentuk sebuah parti yang dominan. Aku harap kalian semua akan berkongsi kuasa bersama kami," sambung Jari Manis.

"Ana tak kisah untuk bergabung tenaga. Tapi untuk bergabung dalam satu parti. Ianya tidak mungkin terjadi kerana idelogi kita berlainan," Jawab Jari Telunjuk.

Apabila pemimpin bertelingkah maka rakyat hilang kepercayaan akhirnya pemimpin hilang kuasa akibat ditolak oleh kuasa rakyat. Dalam cerpen ini tangan mengambil keputusan memotong jari-jari seperti katanya;

"…Kemudian mataku tertancap ke arah pisau daging yang tersimpan kemas di dapur. Mataku kemudiannya beralih kepada tanganku yang mengeletar ini.

"Aku benar-benar tidak tahan kini," aku menjerit seraya mencapai pisau tersebut.

Cerpen "Sayakah yang bersalah" juga menyentuh isu politik seperti katanya;

"…politik kini semakin kotor. Sudah berlemuas dengan dosa. Orang-orang politik kini sudah jadi orang yang berdosa..".

Apabila orang politik banyak melakukan kesalahan maka rakyat yang jadi mangsa;

"…orang susah hanya menunggu saguhati dan bantuan daripada parti politik ketika pilihanraya…."

Mungkin kerana itu ada yang menganggap orang politik bukan lagi berjuang untuk membela bangsa tapi untuk kepentingan diri sendiri.

"…Orang masuk politik kerana mahu kaya bukannya mahu berjasa. Setelah menang undi penyokong, mereka mula membina empayar perniagaan. Kemudian kaya sendiri. Bina rumah besar. Beli kereta besar. Kahwin artis...

Bukan orang politik saja yang patut dipersalahkan kerana golongan penulis juga ada yang sanggup menggadai maruah demi untuk mendapat sedikit habuan dengan menjadi penulis upahan.

Mulut ini lantas berkata setuju. Adakah kerana warna-warna kertas di dalam sampul itu? Saya memang benar-benar penulis murahan.

Mungkin berbagai alasan boleh diberikan dalam usaha membela diri atau untuk menutup kesalahan. Dalam cerpen ini saya membuat alasan kesempitan wang seperti katanya;

Saya sebenarnya terdesak. Kantung saya semakin ringan. Sewa rumah, ansuran kereta, ansuran rumah dan bil telefon bermain-main difikiran. Eh... lagi satu, roadtax saya juga sudah mati. Kemudian saya terfikir, rupa-rupanya pilihan raya tidak lama lagi.

Thursday, January 13, 2005

 

SOROTAN CERPEN BAHAGIAN PERTAMA

SOROTAN CERPEN BULAN JANUARI 2004.

OLEH ABDULLATIP.

CERPEN ialah sebuah cerita pendek yang boleh saja di tulis lima ratus perkataan atau pun lima ribu perkataan atau lebih dari itu. Atau kalau ditaip pada kertas berukuran A4 mengandungi dua muka surat ditaip langkau dua baris atau lapan muka surat atau dua puluh muka surat atau lebih. Ini kerana belum ada syarat atau penentuan panjang pendeknya sesebuah cerpen namun kalau terlalu panjang ia akan dinamakan novel. Namun sebagai sebuah karya sastera yang ada fungsinya di dalam masyaaakat maka panjang atau pendeknya sesebuah cerpen bukan dijadikan kayu ukuran kerana yang diukur ialah mesej, idea atau persoalan yang hendak disampaikan oleh pengarang kepada khalayak pembaca.

Pembuka tirai tahun 2004 iaitu dari 1hb hingga kini…ruangan cerpen esastera menerima 7 buah cerpen yang ditulis oleh 5 orang penulis berbakat seperti berikut:

Bil Tajuk cerpen Pengarang

1. Air Itu Tidak Berwarna Jinaah

2. Budi Madrasah Amiza Khusyri Yusof

3. Lagu Tentang Burung Helang Drvictor (cerpen terjemahan)

4. Nasi Menjadi Bubur Halisasayangku

5. Tunduk Mengalah Halisasayangku

6. Pertelingkahan jari-jemari MK Riza.

7. Sayakah Yang Bersalah MK Riza

8. Pedang Kayu Drirwan

9. Esok Tiada Lagi Drvictor (cerpen terjemahan)

10. Malam ini tidur seorang Airmas_sz

Kesemua cerpen tersebut bertemakan keluarga, kasih sayang, persahabatan dan agama yang berjaya dioleh oleh pengarang dengan kemas dan mudah difahami. ia dikatakan mudah difahami kerana berbentuk konvensional dengan teknik penyampaian yang baik dan mudah difahami.

Sdr Jenaah, saya kira nama baru di sini, membuka tirai tahun 2004 dengan cerpennya berjudul " AIR ITU TIDAK BERWARNA". Cerpen ini mengisahkan watak "aku" atau nama sebenarnya Tasmin yang mengidap virus HIV/AID yang diwarisi dari ayah dan ibunya sejak dalam kandungan/dilahirkan. Seperti katanya;

Virus ini sudah dikesan sejak aku di perut ibu lagi. Jangkitan ini ibu terima dari ayah yang hidupnya merewang di jalanan mencari sebilah jarum yang bertukar tangan…

Walaupun dalam cerpen ini tidak dinyatakan dengan jelas "aku" mengidap HIV/AID namun apakah penyakit lain dari jarum suntikan yang kerap bertukar tangan?. Mungkinkah kerana itu cerpen ini diberi judul "AIR ITU TIDAK BERWARNA?".

Dari awal lagi pengarang berjaya membawa pembaca menyelami watak aku yang sedang menunggu saat kematiannya. Walaupun aku atau Tasmin sedar hari kematian semakin hampir, namun dia masih bersemangat untuk terus hidup dan ingin menghadapi saat kematiannya dengan tenang. Dia masih sanggup bekerja 18 jam sehari di sebuah restoran KFC . Dia juga masih bersemangat untuk menjadi pejuang keamanan.

Benarlah dalam hidup ini, setiap manusia mengharapkan cinta, begitu juga dengan watak Aku atau Tasmin yang masih mengharapkan wujudnya cinta dalam kehidupannya.

Cinta itu luas, cinta pada Tuhan, pada keluarga, sesama manusia, sesama makhluk dan pada diri sendiri. Aku cuma mahu menumpang bahagia. Aku percaya, Allah maha adil, aku percaya qada’ dan qadar serta takdir. Aku percaya cahaya itu….

Walaupun Tasmin sedar penyakit yang dihidapinya berpunca dari keasalahan ayahnya yang menjadi penagih dadah dan selalu berkongasi jarum suntikan, namun dia yakin semuanya Qada’ dan Qadar yang Maha Berkuasa. Mungkin kerana keyakinan itu membuatkan dia terus dapat ketenangan…

Walaupun Tasmin tidak berpeluang mendapat pelajaran tinggi namun pengetahuannya luas kerana dia sentiasa mengikuti perkembangan semasa. Ini dapat dilihat dari monolog berikut;

Yahudi memberontak, masih menagih simpati bila di zaman lampau dibunuh sekitar dua ratus ribu. Kulit hitam masih disangsi, sukar untuk dipercayai atau diberi peluang untuk bangun sendiri. Asia, tetap diragui walau sudah ada kereta cap sendiri. Muslim, huh dibenci dan dianggap pengganas berani mati. Kanak-kanak masih menjadi hamba seks dan dibuli di sesetengah negeri. Wanita juga masih tetap dieksploitasi. Dunia ini masih penuh dengan mangsa dan pemangsa. Siapa-siapa boleh jadi pemangsa, siapa-siapa boleh jadi mangsa, bila-bila masa. Tak tahu yang mana harus dihulur simpati atau dikasihani. Terpulang pada definisi dan kepentingan diri.

Selain itu Tasmin juga mendapat pendidikan agama yang baik dan mampu berdebat mengenai sola agama dengan Ivan seorang penganut agama Kristian berketurunan campuran Cina dan India. Kita perhatikan dialog berikut:

"Kau percaya Allah Tas?"

"Tentu, Dia penciptaku".

"Bagaimana Kau tahu Allah itu pencipta?"

"Ivan, apa kau percaya jika aku kata kerusi terbina sendiri tanpa ada tukangnya?"

"Maksudku sahabat, kenapa Allah, bukan Jesus seperti kepercayaanku?"

" Jesus itu Isa, seorang nabi mengikut peganganku".

"Apa kau perlekeh agama anutanku Tasnim?"

"Tidak Ivan. Aku hormatkan kau sebagai seorang manusia, begitu juga agama dan pendirian kau. Itu yang diajar Islam. Lihat Ivan, bagiku Allah adalah Tuhanku yang Esa dan Jesus adalah Isa seorang nabi Allah yang membawa syariatNya. Pada kau pula Jesus adalah Tuhanmu yang satu dan Allah? Siapa Allah padamu? Engkau tidak diberi peluang untuk menyedari kewujudan Allah Ivan. Carilah, kau perlu tahu siapa itu Allah".

Kerana Ivan dan Tasmin selalu berhujah mengenai soal keyakinan dan pegangan agama akhirnya Ivan mendapat hidayah dan memeluk agama islam.

Aku mahu iman. Aku ingin sebut ‘tiada Tuhan selain Allah, nabi Muhammad pesuruh Allah’. Itu juga kalimah yang aku dengar di mulut Ivan atau Adam tiga hari lepas kala melawatku tempoh hari. Aku kini damai. Aku kini mencari keamanan sejati, keamanan abadi. Amin.

Mungkin timbul persoalan kepada pembaca, apakah seorang pengidap HIV/AID mampu berkerja 18 jam sehari?. Apakah seorang pengidap virus yang amat ditakuti itu boleh diterima bekerja di restoran KFC?. Mustahil majikannya tidak tahu Tasmin mengidap penyakit tersebut tambahan pula dia kerap kali batuk dan selsema yang mengeluarkan cecair hijau. Namun cerita tetap cerita. Ada kemungkinan pengarang ingin mengatakan bahawa mereka yang mengidap penyaklit HIV/AID jangan disisihkan dari masyarakat….

Cerpen ini membawa mesej, walaupun seseorang itu mengidap HIV/AID namun dia masih ada harapan mendapat rahmat dan keampunan dari Allah swt. Aku atau Tasmin akhirnya meninggal dengan menyebut kalimah tauhid " Laailaahaillallah…." Dia juga berjaya mengislamkan Ivan yang akhirnya bertukar nama menjadi Adam.

====================================================

SOROTAN CERPEN " BUDI MADRASAH" KARYA AMIZA KHUSYRI YUSOF

BIODATA PENULIS:

AMIZA Khusyri Yusof penulis muda pernah mendapat bimbingan penulisan lewat Kelab Penulis Zaharah Nawawi [Kepezi] dan beberapa bengkel penulisan kreatif. Lahir pada 31 Ogos 1981 di Seremban, Negeri Sembilan. Mula serius berkarya sejak di tingkatan lima. Graduan Kolej Agama Sultan Zainal Abidin [KUSZA] ini kini menuntut di tahun akhir Universiti al-Azhar Mesir dalam jurusan Usuluddin dan Tafsir al-Quran. Pernah menghasilkan sebuah novellet berjudul Sejernih Salsabila pada 2003 dan telah menghasilkan lebih 15 buah cerpen. Cerpen-cerpennya pernah tersiar di Berita Minggu dan Suara-suara Kampus mahasiswa al-Azhar Mesir. Beliau terhubung via putera_kesuma@yahoo.com dan amizakhusyri@yahoo.com - segala komentar, pandangan dan kritikan boleh dikemukakan di sana. Syukran!

Amiza Khusyri Yusof pula muncul dengan cerpen berjudul " BUDI MADRASAH".

Amiza seorang penulis muda berbakat yang menjanjikan masa depan di bidang penulisan cerpen berasal dari Seremban,Negeri Sembilan. Amiza mendapat bimbingan penulisan dari penulis mapan Zaharah Nawawi dan kini telah menghasilkan 15 buah cerpen serta sebuah novel. Kabarnya penulis ini juga mendapat galakan daripada Sri Diah (sarenande) kerana itu tidak hairan jika gaya bahasanya terpengaruh dengan penulis wanita yang terkenal dengan novel Kuala Lumpur Di Mana Suamiku itu.

Di harap Amiza akan terus aktif menghasilkan karya baik berbentuk cerpen, sajak dan novel kerana Negeri Sembilan juga ramai melahirkan penulis yang berbakat dan tersohor namanya seperti A.Latif Mohidin, Dharmavijaya, Dr Zakaria Ali dan beberapa orang penulis wanita seperti Mahaya Mohd Yasin dan Nisah Harun. Dua orang penulis dari Negeri Sembilan juga iaitu A.Latif Mohidin dan Dr Zakaria Ali telah menerima SEA Write Awards. Di harap Amiza juga akan menjadi penulis yang akan mengharumkan nama negeri yang terkenal dengan Adat Perpatih itu.

Membaca cerpen "Budi Madrasah" hasil karya Amiza saya teringat sebuah cerpen bertajuk " Madrasah" karya Abd Rahman Harun yang memenangi tempat pertama Peraduan Cerpen Berunsur Islam Sempena Abad ke 15 pada tahun 1982.

Tema kedua cerpen ini adalah sama iaitu menceritakan perihal sebuah madrasah yang sudah tidak lagi dipedulikan oleh masyarakat kampung. Haji Dolah yang sayangkan madrasah itu berusaha untuk mempertahankan madrasah dari dirobohkan dan dia juga sanggup menjual lembu peliharaannya untuk membeli kayu membaiki madrasah yang hampir roboh itu. Budi Madrasah juga membawa tema yang sama, di mana Salman berusaha untuk mempertahankan Madrasah dari dirobohkan dan juga berusaha untuk membaik pulih Madrasah tersebut.

Walaupun 2 cerpen ini temanya adalah sama iaitu persoalan mengenai sebuah Madrasah namun saya yakin ia hanya secara kebetulan saja dan saya tidak nampak ada unsur plagiat di situ. Sesungguhnya tema cerpen yang sama bukan berarti berlakunya plagiat kerana boleh dikatakan semua tema cerpen atau novel sekarang telah pernah ditulis oleh pengarang yang terdahulu. Tema percintaan umpamanya, sudah ditulis sejak zaman dahulu hingga sekarang. Yang dinamakan plagiat ialah meniru ayat demi ayat dari awal hingga akhir. Dan perbuatan itu adalah di larang.

Cerpen " Madrasah" karya Abd Rahman Harun di mulai seperti berikut:

" Dia tidak segera bangun dari sejadah usangnya, walaupun makmumnya sedang berebut-rebut menuruni tangga madrasah yang mungkin akan ranap kalau tidak dibaiki segera…."

Amiza pula memulakan ayatnya begini "SALMAN menikmati keindahan pagi Zulkaedah di tubir madrasah. Kemeriahan suasana tahun baru masih dirasai. Dia melabuhkan punggung di atas tangga yang sekian lama berbudi kepada warga Kampung Jati. Pandangannya mengitari halaman madrasah; medan gemulah Lebai Hussien mengajar pencak kepada pemuda kampung suatu ketika dahulu. Di situlah dia mendalami seni Silat Gayung bersama rakan-rakan sekampung."

Ini membuktikan bahawa Amiza tidak memplagiat karya Abd Rahman Harun. Tema dan judul kedua cerpen ini berlaku secara kebetulan sahaja. Malah ada kemungkinan Amiza tidak pernah pun membaca cerpen Madrasah karya Abd Rahman Harun.

Cuma disegi tajuk saya lebih suka kalau Amiza berikan tajuknya "Madrasah" sahaja bukan " Budi Madrasah." Sebab biasanya perkataan budi hanya sesuai untuk manusia sahaja. Namun tajuk itu bukanlah satu kesalahan yang boleh mencacatkan cerpen ini.

Amiza seperti juga Abd Rahman Harun mengangkat persoalan sebuah Madrasah untuk dijadikan tema cerpen masing-masing. Kedua penulis begitu tertarik dengan Madrasaah kerana suatu ketika dulu banyak berjasa kepada masyarakat kampung, seperti yang digambarkan oleh Amiza.

"Madrasah ini adalah warisan nenek moyang, pusaka yang benar-benar berbudi kepada warga Jati. Dulu ramai orang Melayu yang buta huruf, madrasah inilah yang telah menjadi medan ilmu, di sini jugalah lahirnya pendekar-pendekar Melayu yang bergadai nyawa menentang Jepun, lahirnya ulama dan cendekiawan Islam yang sama-sama mempertahankan agama dan nusa semasa kedatangan Jepun di Tanah Melayu"

Beza antara 2 pengarang yang belainan negeri ini (Abd Rahman Harun dari Kelantan, Amiza dari Negeri Sembilan) ialah fungsi sebuah Madrasah. Bagi Abd Rahman Harun, Madrasah ialah sebuah surau namun bagi Amiza pula Madrasah ialah sebuah sekolah rakyat yang dibena oleh orang kampung secara bergotong royong. Bagi Amiza, Madrasah juga digunakan untuk mempelajari ilmu pencak silat seperti yang digambarkan dalam cerpen ini.

"…medan gemulah Lebai Hussien mengajar pencak kepada pemuda kampung suatu ketika dahulu. Di situlah dia mendalami seni Silat Gayung bersama rakan-rakan sekampung…."

Saya rasa takrif Madrasah oleh Amiza lebih tepat kerana ia berasal dari bahasa Arab yang berarti sekolah. Cuma di sesetengah tempat Surau juga dipanggil Madrasah. Kerana itu tidak hairanlah jika Madrasah dalam cerpen ini juga dijadikan tempat meniup semangat kebangsaaan dan semangat cintakan tanah air kepada anak-anak muda di kampung Jati.

"Kenapa Jepun datang ke Tanah Melayu Tok?" Salman menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Tetapi waktu itu Lebai Hussein hanya berdiam diri. Sekadar menghadiahkan sebuah senyuman sebagai jawapan penuh erti.

Kini Salman lebih mengerti sejarah itu. Zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada 1941 sehingga 1945 banyak mengajar bangsa Melayu berwaspada. Lebih mencorak citra bangsa agar lebih mandiri tanpa mengharapkan pertolongan kuasa asing. Tanggal 31 Ogos 1957 adalah tarikh keramat kemerdekaan negara kesan kegigihan dan perpaduan Melayu tanpa mengharapkan pertolongan pihak lain."

Melalui cerpen ini juga Amiza berjaya melukiskan suasana alam sekitar di kampung khususnya di Madrasah dan sekaligus berjaya menyingkap nostalgia zaman kanak-kanak.

"…Sebuah sungai mengalir tenang di tepi Madrasah. Tempatnya dan Latifi selalu bermandi-manda bersama teman-teman sekampung. Pandangan Salman memetia sepohon pokok rambutan di tubir sungai. Kala berbuah lebat, dia akan memanjat dan Latifi pula akan mengutip buah-buah rambutan merah yang bertaburan di atas tanah….".

Namun ayat " pandangan Salman memetia sepohon pokok rambutan…" boleh diperbincangkan kewajarannya kerana adanya perkataan " memetia" (memetik?) dan " sepohon pokok rambutan " kerana bila sudah ada perkataan pohon tidak perlu lagi pokok. Lebih baik jika " sepohon rambutan" sahaja.

Di segi teknik penyampaian, Amiza berjaya menyusunnya dengan kemas dan menarik menyebabkan pembaca tidak jemu untuk terus membacanya. Amiza juga tidak terpengaruh mengunakan urutan periastiwa dari A hingga Z sebaliknya dia gunakan teknik imbas kembali yang tidak disedari oleh pembaca.

"…Salman bingkas dan membuka pintu madrasah. Madrasah Jati kini sudah beratapkan zink. Lantai pula sudah disimen dan tiang-tiang kayu telah diganti dengan konkrit agar lebih kukuh dan agam. Sebuah surau disediakan di sebelah madrasah; penuh dengan rehal kayu untuk anak-anak kecil mengaji di sebelah petang. Kelas Fardu Ain pula kini sudah dibuka; dia antara yang menjadi tenaga pengajarnya..."

Ayat ini terletak di perenggan ke lima permulaan cerpen ini. Ia menggambarkan Madrah tersebut telah pun dibaik pulih dan sudah digunakan semula oleh penduduk kampung jati. Kemudian baru digunakan teknik imbas kembali bagaimana perjuangan Salman untuk mempertahan Madrasah itu dari dirobohkan oleh Latifi.

Salman sayangkan Madrasah kerana selain fungsinya menjadi tempat menyibarkan ilmu, Madrasah itu juga banyak menyimpan nostalgia di zaman kanak-kanaknya.

"Meski bertahun meninggalkan Jati menuntut ilmu di lembah Nil, nostalgia madrasah tidak pernah luput dari ingatan Salman. Dia masih mengingati bahak ketawa Latifi dan santunnya Atikah. Bersama-sama mempelajari ilmu tajwid, mendalami ilmu fardu ain dan belajar adab-adab hidup yang penuh mendesa. Seusai sekolah pagi, dia akan berjalan kaki ke madrasah, mendakap muqaddam dan bersongkok lusuh. Atikah akan menunggang basikal perawan berbakul sambil membunyikan loceng bila menyelisihinya."

Kerana itu perjuangan Salman untuk mempertahankan Madrasah itu dari dirobohkan oleh Latifi ada kewajarannya. Ia bukan kerana ego atau rasa tercabar oleh Latifi tetapi kerana kasih sayangnya kepada sebuah Madrasah yang suatu ketika dulu menjadi tumpuan anak-anak muda menuntut ilmu dunia dan akhirat.

Selain itu Cerpen ini juga berjaya memberi gambaran kepada pembaca betapa besarnya peranan Madrasah kepada orang ramai khususnya penduduk kampung Jati.

Namun Setelah berpuluh tahun berlalu Madrasah yang suatu ketika dulu menjadi tumpuan orang ramai kini mula dilupakan. Ini kerana fungsi Madrasah sudah diambil alih oleh sekolah yang didirikan oleh kerajaan yang lengkap dengan segala kemudahan. Di tambah pula dengan adanya balai raya yang dijadikan tempat orang ramai berkumpul. Dengan ini Madrasah mula dipandang sepi oleh masyarakat. Akibatnya, bangunan Madrasah yang dibuat dari kayu itu menjadi usang dan reput hanya menunggu masa untuk runtuh.

Dalam cerpen Abd Rahman Harun, Haji Dolah seorang tua yang cuba mempertahankan Madrasah tetapi dalam cerpen Amiza seorang anak muda berkelulusan Universiti Al Azhar yang cuba mempertahankannya. Dan seperti biasa, perkara yang baik itu biasanya pada mula mendapat tentangan namun akhirnya yang baik tetap beroleh kemenangan. Begitulah peleraian kedua cerpen ini dimana akhirnya Madrasah itu berjaya dipertahankan dan penduduk kampung sama-sama bergotong royong untuk membaikinya.

Dalam cerpen ini, Salman, seorang anak muda berkelulusan Universiti Al Azhar, menyatakan kesanggupannya bukan sahaja membaiki Madrasah yang hampir roboh tetapi juga sanggup mencurahkan ilmu secara percuma kepada anak-anak di kampung tersebut.

Watak yang menjadi lawan kepada watak utama ialah Latifi, kawan baik Salman yang sama-sama pernah menuntut ilmu di Madrasah tersebut semasa zaman kanak-kanak. Tetapi kerana berlainan cara hidup yang mana Latifi akhirnya menjadi seorang usahawan, lebih mementingkan kebendaan dari kerohanian. Dia berpendapat lebih baik Madrasah itu dirobohkan kerana tidak lagi mendatangkan hasil dan dia bercadang di tapak Madrasah itu akan didirikan tapak projek yang mana boleh memberi peluang pekerjaan kepada penduduk kampung.

"Apa gunanya lagi kita mahu mempertahankan madrasah yang sudah usang itu Salman, dari terbiar begitu, lebih baik didirikan sebuah syarikat pemaju yang lebih bermanfaat untuk pembangunan orang kampung" Ujar Latifi mohon mengerti.

Di satu segi cadangan latifi itu ada juga betulnya kerana orang kampung sendiri tidak mempedulikan lagi kewujudan Madrasah itu lebih baik dirobohkan dan dibangunkan projek yang boleh menjadi sumber pendapatan masyarakat Kampung jati.

Tetapi kepulangan Salman dari menuntut di Universiti Al Azhar, Mesir, berjaya menyedarkan masyarakat kampung Jati bahawa Madrasah itu perlu dipertahankan. Sebenarnya, Salman tidak keseorangan dalam usahanya mempertahankan Madrasah itu kerana dia dibantu oleh Atikah yang juga kawan baik Salman semasa kecil dan sama-sama menuntut di Madrasah tersebut. Dan kini Atikah bekerja sebagai Peguam Bela.

Puncak konflik cerpen ini bilamana Salman mengeluarkan wang simpanannya dari bank dan mengajak penduduk kampung bergotong royong membaiki Madrasah. Ketua kampung pula menjalankan kutipan derma dari orang ramai untuk tujuan yang sama. Tetapi Latifi pula datang membawa pekerja dan jentera untuk merobohkan Madrasah tersebut. Dia juga membawa notis dari Mahkamah yang membenarkan Madrasah itu dirobohkan. Namun Salman dan orang-orang Kampung berjaya menghalangnya. Latifi menuduh Salman menghasut orang-orang kampung dan mengugut akan mendakwanya di Mahkamah.

Ketika itulah Atikah, seorang Peguam Bela, datang menawarkan bantuan guaman percuma kepada Salman. Dan di Mahkamah, Atikah berusaha mempertahankan tindakan Salman kerana dia juga sayangkan madrasah tersebut.

"Saya tidak menghasut, saya tidak melakukan apa-apa penentangan, Yang Arif. Saya hanya membangunkan sebuah madrasah terbiar yang sekian lama berbudi kepada warga kampung dan tanah air. Di sanalah lahirnya pejuang-pejuang Melayu menentang kekejaman Jepun beberapa dekad yang lalu. Abdul Ghaffar, Ahmad Mutawakkil, adalah nama-nama yang pernah terkorban syahid mempertahankan nusa. Mereka semua lahir dari madrasah tua itu, Yang Arif" Itulah antara kata-katanya yang amat dikagumi Atikah. Kata Atikah, dirinya memiliki semangat Hang Kadim yang menyelamatkan Singapura dari dilanggar todak. Dia hanya tersenyum mendengar.

Dialog ini dituturkan oleh Salman dalam Mahkamah. Kerana Salman sudah ada Peguam Bela yang terkenal maka sepatutnya dialog itu dituturkan oleh Atikah dalam usahanya mempertahankan tindakan Salman. Namun sekali lagi " Cerita tetap cerita" dan pengarang ada kuasa mutlak untuk menyuruh siapa yang menuturkan dialog tersebut.

Cerpen ini diakhiri dengan happy ending atau suasana gembira bilamana Latifi menyedari kesilapannya dan memohon maaf. Pihak Jabatan Agama Islam pula telah menjadikan Madrasah tempat bakal haji mengadakan kursus haji. Dan Salman pula menawarkan khidmat mengajar ilmu agama kepada anak-anak muda di kampung Jati.

Di akhir cerpen ini Atikah datang menemui Salman di Madrasah dengan senyuman paling manis. Bagaimana pula kisah hubungan mereka?. Apakah berakhir atau berpanjangan?. Pengarang sengaja membiarkan persoalan ini untuk dijawab sendiri oleh pembaca. Mungkin di sinilah letaknya keistimewaan cerpen ini.

====================================================

SOROTAN CERPEN LAGU TENTANG BURUNG HELANG OLEH MAXIM GORKY Terjemahan oleh DRVICTOR POGADAEV.

BIODATA PENULIS:

Maxim Gorky (1868-1936) Penulis Rusia, pengasas aliran realisme sosialis. Dilahirkan di Nizhny Novgorod. Pada usia sembilan tahun menjadi piatu dan dididik oleh neneknya yang pandai menceritakan dongeng. Kegagalan masuk Universiti meninggalnya nenek dan cinta tak berbalas mengakibatkan percobaan bunuh diri pada tahun 1887. Lebih daripada lima tahun Gorky mengembara dengan berjalan kaki di sekitar Rusia sambil menimba pengalaman yang menjadi punca bagi karyanya kemudian. Pada tahap pertama (1892- 1902) dia mengisahkan gejala dan kepincangan sosial dengan menciptakan watak dari lapisan rendah masyarakat: gelandangan, pencuri, perempuan jalang. Karyanya seperti cerpen Chelkash, Odnazhdi Osen’yu (Pada Suatu Musim Gugur), Na Plotakh (Di atas Rakit), Suprugi Orlovi (Suami-Isteri Orlov); roman Foma Gordeev, Troe (Ketiganya); teater Mesyane (Kaum Burjuis Kecil), Na Dne (Di Bawah) ialah khas untuk masa itu. Tahap kedua kehidupan kreatifnya (1902–1913) yang ditandai oleh kerjasama dengan pertubuhan revolusioner dicerminkan dalam teater Dachniki (Penghuni Banglo Luar Bandar) -1905, Vragi (Musuh) -1906 dan roman Mat’ (Ibunda) – 1907 yang sangat dihargai oleh Sasterawan Negara Malaysia Usman Awang yang membacana dalam terjemahan Pramudya Ananta Toer. Pada tahun 1905 Gorky melawat Amerika tetapi kebanyakannya duduk di pulau Kapri. Selama tahap yang ketiga, sejak tahun 1913 sampai wafatnya, Gorky menerbitkan beberapa karya autobiogragi yang gemilang, antaranya Detstvo (Masa Kanak-Kanak) -1913–1914, V Lyudyakh (Bekerja untuk Orang Lain) - 1916, Moi Universiteti (Universiti Aku) - 1923. Roman epik Zhizn’ Klima Samgima (Kehidupan Klim Samgin) belum pernah diselesaikan. Gorky meninggal di Gorki dekat Moscow (mungkin dia diracuni) pada 18 Jun 1936, bila Stalin mempersiapkan beberapa proses penghukuman terhadap beberapa sahabat lama Gorky. Sebagai penyair Gorky tidak berapa terkenal tetapi berkat puisinya berprosa Pesnya o Burevestnike (Lagu Tentang Burung Badai) dan Pesnya o Sokole (Lagu Tentang Burung Helang) dia mendapat julukan " Penyanyi Revolusi Rusia".


SOROTAN:

Drvictor menyiarkan cerpen terjemahan berjudul " Lagu tentang burung helang" karya MAXIM GORKY. Menurut Drvictor pembaca di negara kita mungkin tidak pernah membaca karya Maxim Gorky tetapi SN Usman Awang amat menghargai karyanya. Mungkin disebabkan karya Maxim Gorky kaya dengan metafora, falsafah dan diksi-diksi tentang kehidupan seperti yang terdapat dalam cerpen "Lagu Tentang Burung Helang."


Usaha Drvictor memperkenalkan karya penulis Rusia di komuniti ini amatlah dialu-alukan kerana boleh menyemarakkan lagi cerpen esastera.com. serta memperkayakan lagi khazanah kesusasteraan Melayu.


Drvictor yang kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya pernah terdidik di Universiti yang sama pada awal tahun 1970-an. Beliau juga pernah mempunyai keluarga angkat di Pahang. Kerana itu beliau boleh menguasi bahasa Melayu dengan baik. Selain menterjemahkan cerpen penulis Rusia ke bahasa Melayu, Drvictor juga menulis puisi. Beliau juga telah menghasilkan banyak makalah tentang bahasa dan sastera Melayu, malah turut menyusun sebuah kamus bahasa Rusia-Melayu.


Selain itu Drvictor juga telah menterjemahkan novel Leo Tolstoy dari bahasa Rusia ke bahasa Melayu berjudul " HAJI MURAD" terbitan Dewan Bahas Dan Pustaka 2001. Dan menterjemahkan puisi-puisi Melayu ke bahasa Rusia.

Cerpen "Lagu Tentang Burung Helang" sebuah cerpen yang dijadikan oleh pengarang sebagai wadah sindiran tentang kehidupan. Pengarang melalui cerpen ini menyelitkan klausa yang menyindir pihak tertentu seperti; " Orang beriman pergi ke syurga. Orang yang mengingkari kekuasaan Tuhan dan Nabi? Mungkin dia dalam buih itu…"

Dan satu sindiran yang lebih tajam lagi tercitra apabila disebutkan " Sama ada terbang atau merayap, kesudahan diketahui sudah: semua akan di dalam tanah, semua akan jadi abu…"

Melalui cerpen ini juga pengarang berjaya membawa persoalan kenapa perlunya kehidupan beragama, syurga dan neraka bukan kisah dongeng. Kita mestilah berpuas hati dengan kehidupan kita dan jangan merasa sombong dengan kelebihan yang dimiliki kerana ia cuma sementara sahaja.

Watak utama cerpen ini ialah Nadir Rahim Ogli seorang tua yang kerjanya sebagai pengembala Krimea, . kuat beragama dan terkenal sebagai seorang filosofi. Manakala aku pula kawan baik orang tua itu.

Sebagai seorang yang kuat beragama Nadir Rahim Ogli tidak lupa menyampaikan dakwah kepada aku yang tidak menganuti sebarang agama dan menganggapnya hanya dongeng dengan katanya: " -Orang beriman pergi ke syurga…"

Burung Helang yang dinyanyikan oleh Nadir Rahim Ogli dalam cerpen ini mewakili watak aku manakala ular bercincin merah mewakili dirinya sendiri. Walaupun dunia keduanya berbeza namun boleh bertemu dalam keadaan tertentu.

Cerita bermula apabila aku dan Nadir Rahim Ogli bersama ke tepi pantai dengan tujuan untuk merenungkan sesuatu tentang kehidupan ini seperti katanya; " kami berdua dalam suasana hati bila segalanya nampak jernih, cerah dan berjiwa dan membolehkan menduga hati sendiri, bila hati berasa lega dan tidak ada kehendak lain keculi kehendak merenungkan sesuatu."

Nadir Rahim Ogli orang tua yang kaya dengan falsafah dan ilmu ketuhanan itu diminta oleh aku untuk menceritakan sesuatu tentang kehidupan. Sebelum itu aku telah banyak kali mendengar cerita Nadir Rahim Ogli namun semuanya dianggap dongeng sahaja. Untuk kali ini iaitu ketika mereka dalam suasana yang tenang dan gembira sekali lagi aku ingin mendengar cerita dari orang tua yang banyak pengalaman itu seperti katanya; " -Rahim, ceritakan sebuah dongeng… -" aku minta orang tua itu.

Maka Nadir Rahim Ogli pun menceritakan kisah seekor Burung Helang yang mana menurut ceritanya ada seekor ular bercincin emas yang tinggal di gunung. Tiba-tiba jatuhlah seekor burung helang. Walaupun burung helang itu hampir nak mati tapi masih menunjukkan egonya dengan berkata:

" Aku hidup bermegah!.. Aku tahu bahagia!.. Aku bergelut berani!.. Aku nampak langit... Kau takkan melihatnya begitu dekat!.. Ah, kasihan kau!

Pengarang menyelitkan sindiran yang tajam kepada mereka yang mudah lupa diri bila berada di tempat yang tinggi. Walaupun satu ketika dia akan jatuh namun rasa sombongnya tetap tidak hilang seperti yang iucapkan oleh burung helang kepada ular.

Namun ular bercincin emas pun apa kurangnya. Dengan sombong ular menjawab; " -Apa itu langit? Ruang kosong…Bagaimana aku boleh merayap di situ? Aku suka di sini… panas dan basah!"

Antara dua golongan ini memang tidak ada titik persefahaman kerana masing-masing berada di dunia yang berbeza. Ular bangga dengan dunianya di permukaan bumi kerana boleh merayap mencari tempat yang kering atau berair.

Burung Helang pula menganggap kehidupan di langait lebih seronok kerana pemandangannya luas, dapat terbang bebas dan banyak cahaya.

Namun itu tidak menarik minat ular malah berfikir: "Kiranya di langit memang hidup selesa, kalau ianya merintih begitu!..."

Lantas ular membuat kesimpulan " "Sama ada terbang atau merayap, kesudahan diketahui sudah: semua akan di dalam tanah, semua akan jadi abu…"

Maksudnya, walau setinggi manapun pangkat seseorang atau sebanyak manapun harta yang dimilikinya akhirnya akan mati juga.

Sebenarnya cerpen ini merupakan sebuah sindiran dimana burung helang yang kepatahan sayap itu mewakili orang berkuasa yang telah hilang kuasanya manakala ular mewakili orang kebanyakan yang merasakan mereka juga ada kuasa untuk menjatuhkan pemimpin. Ular berjaya memperdaya burung Helang supaya terjun ke dalam jurang setelah meyakinkan bahawa burung Helang boleh terbang ke angkasa semula. Namun yang pasti Burung Helang mati setelah terjatuh ke jurang.

Di segi watak juga pengarang berjaya memberi gambaran yang jelas kepada pembaca mengenai watak Nadir Rahim Ogli seperti "Nadir-Rahim-ogli, penggembala Krimea, orang tua yang arif, beruban, tinggi dan kurus badannya serta hitam berjemur matahari Selatan."

Dengan ini Pembaca dapat mengagak Nadir Rahim Ogli beragama Islam berdasarkan pada namanya Rahim dan berzikir dengan menyebut nama Allah "Allah Akbar". Nadir Rahim juga bekerja sebagai pengembala suatu pekerjaan yang biasa dilakukan oleh orang Islam termasuk Nabi Muhammad saw yang pernah jadi pengembala kambing semasa kecilnya.

Namun pengarang tidak berjaya menjelaskan watak aku kerana pembaca masih tertanya siapakah aku?. Orang tua atau muda?. Bagaimana bentuk badannya?. Pun begitu pembaca dapat mengagak Aku seorang lelaki kawan baik Nadir Rahim Ogli dan tidak mempercayai ketuhanan kerana menganggap cerita Nadir Rahim Ogli hanya sebuah dongengan sahaja.

Kekuatan Cerpen ini pada bahasanya yang puitis seperti; " Laut berkasih sayang dengan pantai dan gelombangnya bersuara lembut seakan meminta dibiarkannya berjemur pada api unggun…."

Namun saya ingin menyentuh sedikit disegi kesesuaian bahasa Melayu yang mungkin tidak disedari oleh penterjemah. Contohnya

Tajuk cerpen ini " LAGU TENTANG BURUNG HELANG" saya berpendapat lebih cantik kalau " nyanyian Sang helang" atau " Syair burung helang."

Selain itu terdapat ayat yang tidak lengkap dan kurang tepat seperti berikut:

Kiranya langit semakin menurun di atas (permukaan) laut dalam keinginan mengerti apa dibisik-bisikkankan oleh gelombang yang dengan tak kujung lelah menghempas setengah tidur(lena) ke pantai.

kami berdua ( kami ) dalam suasana hati (gembira) bila segalanya nampak jernih, cerah dan berjiwa dan membolehkan menduga hati sendiri, bila hati berasa lega dan tidak ada kehendak (keinginan)lain keculi kehendak (keinginan) merenungkan sesuatu."

"Kiranya di langit memang hidup selesa, kalau (kenapa) ianya merintih begitu!..."

"Nadir-Rahim-ogli, penggembala Krimea, orang tua yang arif, beruban, tinggi dan kurus badannya serta hitam (kulitnya akibat) berjemur (di bawah sinaran) matahari Selatan."

Namun kesilapan yang sedikit itu tidaklah mencacatkan cerpen ini kerana pembaca masih boleh menghayati keindahan bahasanya. Di harap Drvictor akan terus menterjemah cerpen penulis Rusia ke bahasa Melayu.

Kerana cerpen terjemahan tidak dipertandingkan dalam ACAS maka Saya mencadangkan agar pihak menganjur menimbangkan satu bentuk hadiah sebagai satu penghargaan di atas usaha yang murni ini.

=============================

SOROTAN CERPEN TUNDUK MENGALAH
KARYA HALISASAYANGKU

BIODATA PENULIS:

HALISA SAYANGKU atau nama sebenarnya Saleha binti Ahmad, anak watan negeri Perlis, dilahirkan pada 1 Jun 1970 di Desa Sena, Arau, Perlis, berkelulusan SPM. Pernah bekerja sebagai Penolong Editor di sebuah syarikat penerbitan di Perlis (cawangan – ibu pejabat di Pulau Pinang) yang menerbitkan novel remaja selama dua tahun. Kemudian berhenti dan memilih untuk menumpukan sepenuh masa kepada penulisan.

Beliau menghasilkan sekian banyak karya dalam semua genre sastera iaitu novel remaja, cerpen, puisi, skrip drama radio, buku cerita kanak-kanak dan cerita rakyat.

Antara karya-karya beliau yang telah tersiar atau diterbikan ialah novel remaja; Bintang Tidak lagi Mengerdip, Mentari Muncul Lagi, Meniti Suratan, Cinta Bukan Ikusi, Kusapu Air Mata Perpisahan, Aku Tetap Aku dan Andainya Kita Sehati Sejiwa. Cerpen; Tanah (Bacaria), Api Amarah (Bacaria), Cinta Wanita (URTV Jan 2003), dan antologi Selembut Hati Dila (DBP). Puisi; Pada saat Sarat Kelahiran (Mingguan Malaysia-MM), Pagar Keimanan (MM), Ruang Kehidupan (Berita Minggu-BM), Desaku (BM), Secangkir Kedamaian (MM), Semalam, Hari Ini Dan Esok (Nona), Nasihat Luqmanul Hakim (MM), Sedulalang Hantaran Nista (Radio Malaysia Kedah), Anugerah (Radio Malaysia Perlis), Perjalanan Nasib (BM), Serikandi Bangsa (BM), Seteguh Sayang (Nona April 2003), Penjara Kama (Tunas Cipta Jan 2003), Pasti Mengerti (Seri Dewi & Keluarga Mac 2003), Berteduh Di Pohon Syawal (Metro Ahad), Butir-Butir Rahmat (MM), Tahun Baru Datang Lagi (MM), Kerana Kita Manusia Biasa (MM), Aku Seorang Pengembara (BM), Reda (MM), Antologi puisi Mutiara Timur (DBP), dan beberapa buah antologi bersama 3P. Skrip Drama Radio; Sebuah Pengorbanan, Takdir Hidup, Nasi Lemak Buah Bidara, Mengharap Mentari Muncul, dan Sandaran Kasih. Buku cerita kanak-kanak akan diterbitkan oleh DBP – Anak Burung Yang Degil. Dan Cerita Rakyat – Antologi Puteri Serunai Malam (Fajar Bakti).

Nama beliau telah tercatat di dalam The Malaysia Book Of Records lantaran menjadi peserta di dalam acara Ratib 1000 Syair yang diadakan di rumah GAPENA Kuala Lumpur.

Merupakan ahli Persatuan Penulis Perlis (3P) sejak 1988 hingga sekarang. Menjawat jawatan AJK di dalam persatuan tersebut dan Timbalan Penyelaras Sekretariat Penulis Muda 3P-GAPENA.

SOROTAN CERPEN:

Selalunya dalam bengkel atau kursus penulisan, soalan yang sering ditanya oleh peserta ialah bagaimanakah caranya mendapatkan idea/ilham untuk menghasilkan cereka?. Dan biasanya penceramah akan menjawab begini;

"Segala peristiwa samaada yang kita alami sendiri atau yang kita dengar atau yang kita lihat atau yang kita baca atau yang kita tonton boleh dijadikan cereka. Apa yang penting ialah kepekaan penulis."

Kerana sifat pengarang begitu peka dengan pengalaman yang dilaluinya maka segala peristiwa tersebut diperam, dicerna lalu dituang ke dalam bentuk penulisan. Kerana itulah sejak dari seawal zaman Yunani hingga sekarang pengarang memperkatakan hal yang serupa tetapi disampaikan dengan cara yang berbeza-beza.

Kerana itu tidak hairanlah jika kita pernah membaca cereka yang sama temanya tetapi telah diolah serta disampaikan oleh pengarang mengikut caranya yang tersendiri.

HALISASAYANGKU, seorang lagi penulis muda yang berbakat dari negeri Perlis Indera Kayangan menyiarkan dua cerpen yang agak menarik.

"Tunduk Mengalah" cerpen bertemakan kasih sayang dan persahabatan manakala " Nasi Menjadi Bubur" bertemakan keagamaan.

Tunduk Mengalah mengisahkan wujudnya cinta tiga segi antara watak utama cerpen ini "Aku" atau nama sebenarnya Durratul dengan sahabat baiknya "Ain" dan seorang pemuda bernama Irwan. Untuk mengetahui betapa dalamnya kasih sayang Ain kepada Irwan maka "Aku" sengaja menduga dan menimbulkan rasa cemburu di hati sahabatnya dengan cara menceritakan kemesraan aku dengan Irwan. Ain juga meluahkan rasa kasihnya terhadap Irwan tapi dalam masa yang sama, aku juga menaruh hati pada pemuda tersebut namun cuba disembunyikannya.

Irwan juga tahu dua gadis tersebut menyayanginya namun dia lebih sayangkan Durratul daripada Ain. Ini dijelaskan oleh Irwan kepada Durratul dengan mengatakan dia hanya sanggup mengajak Durratul menaiki keretanya tetapi tidak sanggup membawa Ain dengan alasan takut sahamnya jatuh. Irwan juga menunjukkan kesungguhan dan kejujurannya

dengan membawa Emaknya ke rumah " Aku" untuk diperkenalkan dan menurut Irwan, ibunya sudah berkenan kepada Duratul dan sanggup menerimanya menjadi menantu seperti katanya;

"Sebenarnya mak sukakan Durratol. Dia pilih Durratol jadi menantunya.

Saya ikut saja mana yang mak berkenan. Tak nak bangkang lagi. Takut jadi macam yang lepas". Namun Duratol tidak mempercayainya bulat-bulat malah dia menyelidik dulu apakah status Irwan samaada masih bujang/ duda atau suami orang.

Di sini jelas tergambar kematangan watak "aku" dalam bercinta kerana dia tidak mudah percaya dengan kata-kata manis dari seorang lelaki, sebaliknya aku menyelidik dulu kebenaran dan status lelaki itu. Dan aku berasa puas hati kerana Irwan belum beristeri.

Namun Ain yang merasakan cintanya terhadap Irwan tidak berbalas seperti yang diharapkan dan kemenangan berpihak kepada Durratul, berasa kecewa lantas meninggalkan Duratol dalam keadaan yang tergesa-gesa. Semasa dalam perjalanan, motosikal Ain terlibat dalam kemalangan di jalan raya.

Peristiwa Ain mendapat kemalangan di jalan raya bukanlah berakhirnya konflik cinta tiga segi ini malah ia menjadi bertambah komplek. Ini disebabkan Duratol merasa bersalah kerana dia yang menyebabkan Ain mendapat kemalangan lalu berjanji akan tunduk mengalah dan tidak akan merebut Irwan dari Ain seperti katanya;

"Aku bersalah pada kau, Ain. Aku takkan berebut lagi. Aku akan serah kepada kau, Ain. Tuhan, selamatkan Ain."

Sebenarnya pengarang boleh menyelesaikan cerpen ini dengan peristiwa kemalangan yang menimpa Ain. Namun inilah keunikan cerpen ini kerana ia mengundang masalah baru sekiranya Ain masih hidup dan cuma mendapat cedera ringan sahaja.

Persoalannya apakah Irwan akan menerima Ain begitu mudah sedangkan cintanya hanya kepada Durratol?. Tambahan pula emaknya sudah berkenan kepada Duratol?.

Selain dari itu kekuatan cerpen ini kerana kerangka strukturnya yang agak kukuh. Pengarang berjaya membina watak, cara penyampaian, teknik dan latar belakang yang meyakinkan. Sebagai contoh, Cerpen ini dimulai dengan sebuah pertanyaan; "IRWAN tak pergi ke rumah kau, Ain?" Itulah soalan pertama sebaik saja aku berjumpa dengan Ain di perpustakaan.

Ayat dipermulaan cerpen ini dapat memancing minat pembaca untuk mengetahui kisah seterusnya. Siapakah Irwan dan Ain?. Apakah kaitannya dengan aku?. Dan pembaca dapat merasakan wujud konflik antara Ain dengan aku bila membaca ayat berikut: Aku dapat mengagak sejauh mana keikhlasan Ain bertanya. Mata dan wajahku tidak dijamahnya.

Namun disegi urutan peristiwa yang dipaparkan agak kurang meyakinkan. Contohnya, wajarkah aku menduga perasaan sahabatnya Ain semasa mereka berada di perpustakaan?. Biasanya dua sahabat akan mencari tempat yang lebih sesuai untuk membincangkan hal peribadi mereka.

Peristiwa Irwan tidak sedar dia memakai sebelah kasut saja ketika pulang dari rumah aku juga agak kurang meyakinkan seperti yang digambarkan oleh pengarang;

"Entah. Saya pun tak sedar. Tau-tau masa nak turun kat rumah mak saudara, kasut ada sebelah aje. Nasib baik ada kasut lain dua pasang dalam kereta," cerita Irwan panjang lebar.

Apakah Irwan tidak sedar dia memakai sebelah kasut sahaja dalam perjalanan dari rumah aku ke rumah mak sedaranya?. Apakah orang bujang seperti Irwan menyimpan dua pasang kasut dalam kereta?.

Peristiwa Ain mencabar Irwan mengopek durian dengan tangan tanpa menggunakan pisau juga kurang meyakinkan seperti katanya; "…aku cabar Irwan kopek durian dengan tangannya. Tak boleh guna pisau. Dia sahut cabaran aku tu." Ain ketawa terkekeh-kekeh.

Kalau buah durian itu sudah merekah memang boleh di kopek dengan tangan dan Ain tidak perlu mencabar Irwan lagi. Tetapi kalau buah durian masih baik mustahil boleh di kopek tanpa mengggunakan benda tajam.

Selain itu saya agak keliru dengan ayat berikut:

Buku berkulit tebal yang dipegang Durratol jatuh menimpa kakinya. Dia tunduk menggosok kaki. Terasa pedih dan sengal. Dia mengaduh sakit. Nasib baik tiada orang di rak tersebut. Dia mengambil buku itu dan berlalu ke meja tempat Ain berada.

Sudut pandangan ini bukan lagi dari watak "aku" tetapi sudut pandangan orang kedua atau ketiga. Tetapi aku tidak boleh melihat dari pandangan orang lain. Begitu juga ayat berikut:

Durratol sengaja keluar duduk di kerusi mengadap meja yang tersedia di situ. Sesekali seronok juga mengambil angin petang setelah penat bergelumang dengan bahan rujukan.

Sepatutnya "Durratul" di tukar kepada "Aku" sahaja.

Peristiwa Irwan berkali-kali mengusir Ain turun dari keretanya pun agak tidak menasabah kerana telah wujud hubungan baik sebagai kawan antara mereka. Tambahan pula selama pesta berlansung Irwan dan Ain ada bersama di pesta itu sehingga tergambar kemesraan mereka bilamana Ain mencabar Irwan mengopek durian menggunakan tangan sahaja. Apakah kerana takut saham bujangnya jatuh maka Irwan sanggup mengusir Ain dari menaiki keretanya?. Apakah mereka bersama selama pesta berlansung itu tidak menjatuhkan saham Irwan?.

Seperti yang dikatakan tadi cuma disegi paparan peristiwa sahaja yang agak kurang meyakinkan namun disegi bahasa pengarang berjaya menguasainya dengan baik. Bahasa yang digunakan juga mudah difahami dan tidak menjemukan. Begitu juga disudut teknik penyampaian pengarang berjaya menggunakan berbagai teknik yang baik seperti teknik imbas kembali,monolog dan sebagainya.

Semoga pengarang akan lebih berhati-hati memaparkan peristiwa-peristiwa dalam cerpen yang akan datang. Jadilah sorotan yang ringkas ini sebagai peransang untuk terus berkarya...

============================

SOROTAN CERPEN NASI MENJADI BUBUR
KARYA HALISA SAYANGKU

Cerpen kedua dari penulis yang sama berjudul " Nasi Menjadi Bubur". Cerpen ini membawa tema keluarga dan agama yang menjadi pokok persoalannya.

Benarkah mereka yang mengerjakan ibadat haji ke tanah suci Mekah akan menerima pembalasan di atas dosa atau kesalahan yang mereka lakukan?. Persoalan tersebut terungkap dalam cerpen ini.

Penulis cerpen ini, Halisa Sayangku, berjaya mengangkat satu persoalan yang biasa kita dengar terutama dari jemaah haji yang baru pulang dari Mekah. Namun cerpen ini menjadi menarik kerana disampaikan dengan cara yang baik. Dan kisah ini boleh menjadi teladan kepada pembaca terutama bakal jemaah haji supaya bertaubat di atas segala dosa yang dilakukan sebelum berangkat ke tanah suci Mekah.

Cerpen ini dimulakan dengan ayat berikut: HAJAH Esah terbaring lesu. Dia benar-benar tidak bermaya kini. Sejak pulang dari Tanah Suci…

Biasanya mereka yang baru balik dari tanah suci selepas menunaikan ibadat haji, dirinya dalam keadaan suci kerana dosa mereka telah diampunkan. Kerana itu apabila pulang ke tanah air wajah mereka nampak berseri dan bersemangat tinggi apabila bertemu kawan-kawan dan serta sanak saudara. Tetapi berlainan pula dengan Hajah Esah. Dia terbaring lesu seperti hanya menunggu saat kematiannya. Haji Chin lambang suami soleh mengambil alih tugas rumah tangga;

Haji Chin yang memasak dan membasuh pakaian. Haji Chin buat setakat yang dia mampu….

Apa yang menimpa Hajah Esah berpunca dari kesalahan yang dilakukannya dan mereka menerima musibah itu ketika berada di tanah suci Mekah:

Dia dan suaminya tidak dapat melakukan satu apa pun. Dia lupa apa yang dipelajari. Selepas itu mendapat sakit yang teruk. Manakala suaminya pula nyanyuk. Seringkali tersesat mencari maktab tempat tinggal dan tersalah katil tempat tidur.

Begitu hebat dugaan yang dialami oleh Haji Chin dan isterinya Hajah Esah sehingga mereka tidak dapat melakukan ibadat haji dengan sempurna. Kalau wajib haji seperti melontar jumrah tidak dapat dikerjakan boleh diupah orang lain melakukannya. Begitu juga kalau tidak mampu melakukan tawaf dan syae boleh diusung tetapi kalau tidak dapat wukuf di padang Arafah maka ibadat haji tidak sah.

Musibah yang menimpa Hajah Esah bukan sahaja ketika berada di tanah suci Mekah tetapi berterusan apabila pulang ke tanah air. Dia sentiasa sakit dan tidak boleh berjalan-jalan seperti kebanyakan mereka yang baru pulang dari tanah suci. Menurut doktor penyakit yang diidapi oleh Hajah Esah cuma kencing manis sahaja tetapi yang hairannya kenapa dia tidak boleh berjalan ke mana-mana seperti orang lain?. Ketika kawan-kawan yang sama-sama pergi ke tanah suci Mekah sudah boleh berjalan-jalan ke sana kemari namun Haji Chin dan isterinya masih berkurung di rumah.

Persoalannya, apakah dosa yang telah dilakukan oleh pasangan suami isteri itu?. Besar sangatkah kesalahannya sehingga tidak mendapat pengampunan daripada Allah swt walaupun di Mekah dan Madinah ada tempat yang mustajab apabila berdoa.

Hanya Allah swt sahaja yang mengetahuinya. Namun apa yang pasti, berada di tanah suci Mekah memang banyak cabarannya terutama di segi tempat kediaman, cuaca dan alam sekitarnya. Mereka yang lemah semangat pasti tidak mampu menghadapinya.

Kerana itu bakal haji akan diberi kursus serta panduan sebagai persediaan tetapi paling penting duit yang dibelanjakan mestilah datangnya dari punca yang halal dan sebelum berangkat banyakkan taubat serta memohon maaf kepada mereka yang pernah dianianya.

Dalam masalah Haji Chin dan isterinya, perbelanjaan mereka ke Mekah dari punca yang halal kerana tanah bendang mereka dibeli oleh pemaju untuk dijadikan tapak projek saluran gas.

Haji Chin dan Hajah Esah juga orang baik kerana mereka menjadi guru agama mengajar anak-anak mengaji. Kerana itu apakah dosa besar yang mereka telah lakukan sehingga mendapat musibah yang begitu hebat?. Apakah Haji Chin dan isterinya tidak sempat bertaubat?.

Kerana itu jiran tetangga tertanya-tanya kenapa dengan Haji Chin dan isterinya?. Apakah punca yang menjadi penyebab musibah itu menimpa ke atas mereka?. Namun tidak siapa yang tahu kerana Haji Chin dan isterinya merahsiakannya;

….ada sesuatu yang disembunyikan oleh Hajah Esah. Begitu juga Haji Chin. Mereka tidak membongkarkan hal itu kepada sesiapa pun.

Penjualan tanah sawah empat relung juga bukan rahsia kerana itu sudah diketahui umum malah itu bukan satu kesalahan. Mungkin ada sebab lain yang tidak disedari oleh Haji Chin dan isterinya Hajah Aishah.

Belum sempat belajar dengan lebih teliti, giliran mereka untuk mengerjakan haji sampai. Hajah Esah dan Haji Chin tidak mahu melepaskan peluang itu. Jika ditangguh ke tahun-tahun mendatang, entah sempat entahkan tidak.

Apakah kerana belum cukup persediaan di segi ilmu ibadat haji yang menyebabkan mereka mendapat musibah?. Tambahan pula memang ada pendapat mengatakan sekiranya seseorang itu tidak dapat menyempurnakan segala rukun dan wajib haji maka kesannya di bawa sehingga pulang ke rumah?.

Tetapi Haji Chin dan isterinya bukan jahil dalam hukum hakam agama kerana;

… mereka guru mengajar kanak-kanak mengaji, mustahil cetek dengan rukun, syarat-syarat serta cara-cara melaksanakan haji.

Persoalan ini terjawab apabila pengarang menggunakan sudut pandangan Hajah Esah yang terkenang dosa yang telah dilakukannya. Puncanya bermula dari anaknya Fadhly yang mabuk dengan kemewahan dari duit orang tuanya. Fadhly lupa diri serta mengabaikan tanggung jawab terhadap 3 orang anak dan isterinya, seorang wanita Siam. Ketika isterinya terlantar di hospital akibat penyakit barah yang kronik, Fadhly berkahwin dengan gadis lain dan tidak lagi menghiraukan anak termasuk anak kecil yang baru dilahirkan oleh isterinya.

Kerana tidak mampu memelihara 3 orang cucu yang masih kecil, ditambah pula sikap fadhliy yang tidak menghiraukan lagi anak-anaknya, serta permintaan dari keluarga isteri pertama Fadhly, akhirnya Hajah Esah dam Haji Chin menyerahkan cucu mereka kepada keluarga Nisah di Bangkok. Nisah juga terpaksa kembali ke pangkuan ayah dan ibunya yang kuat memegang agama Budha.

Kerana kesalahan menyerahkan 3 orang cucu dari darah daging sendiri untuk dipeliharan oleh keluarga yang bukan Islam dan membiarkan Nisah kembali kepada keluarganya menjadi penyebab Haji Chin dan Hajah Esah mendapat pembalasan ketika berada di tanah suci Mekah.

…Terngiang-ngiang di telinga suara tangisan cucunya dan suara jiran-jiran mencemuhnya….

Sebenarnya rasa bersalah itulah yang menghantui fikiran Hajah Esah dan suaminya Haji Chin seperti katanya;

"Sepanjang masa di Tanah Suci sampailah balik ke rumah, saya asyik dengar tangisan cucu kita yang satu tu, anak Fadzly," luah Hajah Esah tatkala Haji Chin masuk bersama sebiji gelas kosong dan sebotol air.

Begitu juga dengan Haji Chin wajah cucu kesayangannya sentiasa merentap ketenangan di hatinya seperti katanya;

"Saya pula tak dengar tangisan tapi saya sentiasa nampak orang yang saya temui menyerupai wajah cucu kita tu. Dia ajak ikut saya ke mana saja." Haji Chin pula membongkarkan cerita yang dipendamnya sejak pulang dari Tanah Suci.

Hajah Esah ingin menebus semula kesilapannya dengan berkata:

"Kalau sebelum ke Mekah, duit tu kita guna upah orang pergi ambik cucu kita kan lebih baik." Suara Hajah Esah bernada sedih menahan sebak.

Namun musibah datang timpa menimpa bilamana Haji Chin menerima panggilan dari Bangkok;

... Ya, dia anak saya... Apa?... Terbunuh di Bangkok?... Ditembak?" Terduduk Haji Chin mendengar berita itu.

Tepatlah seperti tajuk cerpen ini "Nasi Menjadi Bubur" kerana semuanya telah berakhir dan tidak dapat diperbaiki lagi…

BERSAMBUNG…..





 

ULASAN CERPEN NUR AIN

ULASAN CERPEN NUR AIN OLEH UMMU HANI ABU HASSAN

Cerpen ini mengisahkan aku dan Aina isterinya, mengerjakan Umrah di tanah suci Mekah. Mereka juga pergi ke kota Madinah untuk menziarahi makam Rasullullah saw. Ketika di Mekah aku dan isterinya berdoa semoga Allah mengurniakan mereka zuriat kerana sudah lebih 20 tahun berkahwin tapi masih belum punya anak. Cerpen ini diakhiri apabila pasangan tersebut pulang ke tanah air, ketika mendarat di KLIA Aina telah sakit dan dimasukkan ke bilik kecemasan. Menurut doktor, aku akan bergelar ayah.

ULASAN

BAHASA/AYAT
Bahasa merupakan perkara penting dalam penulisan. Melalui bahasa pengarang menyalurkan ideanya kepada pembaca. Bahasa yang betul, kemas, mantap dan cantik ayatnya pasti menyenangkan pembaca menghayatinya.

Pada keseluruhannya Ummu Hani berjaya menyampaikan idea melalui bahasa yang lancar dan cantik. Namun terdapat juga beberapa perkara yang perlu diambil perhatian.

Izinkan saya menyentuh beberapa penggunaan ayat pada cerpen ini. cuba kita baca ayat berikut:

Bangunan-bangunan batu yang berselerak dari ufuk jabal, melintang dan tersusun memagari ruang Baitul Haram.

Ufuk jabal yang dimaksudkan oleh pengarang ialah puncak bukit yang terdapat di sekitar kota Mekah. Namun di sekitar Masjidil Haram tidak terdapat lagi bukit malah Jabal Qubis pun sudah diruntuhkan.

Pada ayat ini terdapat juga perkataan "berselerak", "melintang" dan "tersusun." yang menggambarkan bangunan di kota Mekah. kalau berselerak tidak dinamakan melintang dan tersusun.

Begitu juga perkataan "ruang". Saya rasa lebih sesuai perkataan "ruang" itu diganti dengan kawasan atau sekitar. Apa yang ingin digambarkan oleh pengarang ialah bangunan batu tersusun di keliling Masjidil Haram. Kalau perkataan ruang boleh membawa makna dalam Masjidil Haram bukan di kawasan luar.

Kita perhatikan pula ayat berikut:

walaupun suhu di siang hari kadang mencapai 46 darjah Celcius. Terlalu panas.

Ayat ini menggambarkan waktu siang di tanah suci itu terlalu panas sehingga mencapai 46 darjah Celcius. Benar. Tapi harus juga diingat, di sana cuaca panas bukan sepanjang tahun. Ada juga musim sejuknya walaupun tak sampai paras beku. Supaya jangan tersalah fakta, sepatutnya ayat tersebut begini:

Pada musim panas suhu di siang hari kadang mencapai 46 darjah Celcius. Terlalu panas.
menghidangkan panorama gharib.
seorang jadd.

Saya masih memikirkan apakah makna panorama gharib dan seorang jadd?.

Apakah faedahnya kita masukkan perkataan asing yang tidak difahami pembaca?.

SUDUT PANDANGAN

Sudut pandangan dalam sesebuah cerpen amat mustahak kerana ia menjadi alur cerita. Dengan adanya sudut pandangan pembaca lebih mudah menghayati ceritanya. Namun kalau sudut pandangan pertama iaitu ia terbatas dengan apa yang dilihat sahaja. Aku tidak boeh menyelami apa yang difikirkan orang lain kecuali melalui tindakan dan percakapannya sahaja.

Melalui cerpen ini pengarang cuba mempelbagaikan sudut pandangan. Contohnya kisah yang bertarikh 20 jun 2004 dilukiskan dari sudut pandang aku iaitu suami Aina. Kemudian pada 21 Jun 2004 cerita dari sudut pandangan Aina isteri aku.
Kemudian pada 22 Jun 2004 sudut pandangan Aku semula. Dan pada 25 sudut pandangan Aina isteri aku. Dan pada 26 Jun sudut pandangan Aku, suami Aina.

Mempelbagaikan sudut pandangan watak seperti ini memang baik. Mungkin pengarang ingin melakukan sesuatu yang baru. Sebab biasanya sebuah cerpen hanya dari sudut pandangan satu watak sahaja. Sebaiknya kalau sudut pandangan pertama tidak boleh dicampurkan dengan sudut pandangan orang ketiga.

Cara itu lebih mudah kerana kalau kurang berhati-hati jadi tak terkawal. Malah boleh mengelirukan. Contohnya seperti berikut:

Aku ingin mencuri waktu ini bersama Aina, permaisuri hati yang tak sudah mencebik dan mengeluh, " Kita dah tuakan bang." Seperti biasa, hanya senyuman yang terukir di bibir. " Sayang, semakin tua, semakin hangat kasih abang padamu." Dia mengeluh, mungkin sudah lali dengan retorik itu.

Siapa yang berkata?. Siapa yang tersenyum?. Dan siapa yang mengeluh?. Ayat terakhir ." Dia mengeluh, mungkin sudah lali dengan retorik itu. DIA adalah sudut pandangan isteri bukan aku. Sebab yang mengucapkan kata-kata retorik ialah Aku.

Aku melirik suami, dia memejamkan matanya sejak tiba di hadapan makam nabi sambil berdoa, Ya rasul, syafaatkan kami tatkala matahari terpacak di atas ubun-ubun kami nanti, rayu hatiku.

Ayat ini dari sudut pandangan aku, Aina. Dari ayat di atas difahamkan yang berdoa ialah suami. Tetapi kenapa ada ayat rayu hatiku di akhir perenggan. Atau adakah isteri yang berdoa?. Kenapa adanya perkataan rayu?.

Dan juga ayat berikut:

Ini mungkin catatan terakhirku di Tanah Suci. Aku pasti kembali ke sini jika Allah masih mengurniakan kudrat umur

" Abang." Dia menoleh. " Aina nak cakap sesuatu. Aina dah buat keputusan bahawa abang boleh…" Dia menutup mulut isterinya. " Biar abang yang mulakan. Abang sudah berjanji di hadapan kaabah. Abang akan jadi seorang suami yang bersyukur dan qanaah. Tiada pilihan cinta abang. Hanya dengan Aina walaupun tiada nur ain." Dia mengucup dahi isterinya.

Perenggan ini dimulai dengan sudut pandangan "aku". Tetapi di selangseli dengan "Dia". Malah ayat " Dia mengucup dahi isterinya" juga agak mengeirukan kerana bermula dengan sudut pandangan pertama Aku.

SEBAB / AKIBAT/ LOGIK CERITA/

Dalam sesebuah cereka sebab dan akibat mesti menasabah supaya pembaca tidak berasa seperti dipermainkan oleh pengarang.

Ibadat Umrah biasanya dilakukan selama dua minggu atau lebih. Dan biasanya mereka berada di Madinah selama 8 hari untuk mengerjakan sembahyang 40 waktu. Biasanya Jemaah Malaysia ke Madinah bukan sekadar menziarahi makam Rasullullah tetapi juga ingin mengerjakan sembahyang sebanyak 40 waktu yang mengambil masa selama lapan hari.

Dalam cerpen ini Aku dan Aina berada di Madinah cuma lima hari sahaja bermula dari 20hb hingga 24 hb kerana pada 25hb mereka sudah berada di Mekah. Bermakna mereka cuma sempat mengerjakan sembahyang 25 waktu sahaja tidak cukup 40.

Di ceritakan juga mereka sampai ke Madinah pada 20hb terus dibawa melawat tempat bersejarah seperti Masjid Qubak, Masjid Qiblatain dan lain-lain. Diceritakan juga setelah melawat tempat tersebut baru mereka menziarahi makam Rasullullah.

Kamudian suami tidak sabar menziarahi makam Rasulullah s.a.w.

Biasanya apabila sampai di Madinah, tempat yang mula-mula pergi ialah Masjid Nabawi untuk menziarahi makam Rasullulah. Selepas itu baru pergi melawat ke tempat lain. Tidak pernah berlaku jemaah di bawa keluar kota Madinah dulu baru menziarahi makam Rasullullah saw kerana menziarahi makam rasul perlu diutamakan.

Kita perhatikan pula ayat berikut:

Aku melirik suami, dia memejamkan matanya sejak tiba di hadapan makam nabi.

Ayat ini membawa maksud aku dan suami sama-sama menziarahi makam Rasullaullah saw di Masjid Nabawi.

Apa yang pasti di Masjid Nabawi jemaah lelaki dan wanita diasingkan. Walaupun suami dan isteri mereka tidak boleh masuk ke masjid itu bersama. Begitu juga menziarahi makam Rasullullah saw. Waktu melawat untuk kaum wanita tidak sama dengan lelaki. Dan tidak pernah berlaku suami dan isteri dibenarkan menziarahi makam itu serentak.

Kita perhatikan pula ayat berikut:

Ini mungkin catatan terakhirku di Tanah Suci. Aku pasti kembali ke sini jika Allah masih mengurniakan kudrat umur.

Dia resah. Isterinya dimasukkan ke bilik kecemasan sebaik sahaja kapal terbang yang mereka naiki mendarat di KLIA. Ketika dia memasuki ruang bilik tersebut, seorang doktor muda menyapa sambil tersenyum, " Tahniah! Encik bakal bergelar ayah." Dan dia terpana lalu melutut syukur. Tuhan! Cintamu lebih mendalam daripadaku. Kerana nur ain, dia menangis dan memeluk isterinya.

Ketika pasangan tersebut berada di Madinah pada 20hb hingga 24hb tidak diceritakan Aina sudah mengandung. Malah ketika berada di Mekah pada 25hb Aina dan suami berdoa malah bermunajat supaya dikurniakan zuriat. Malah sebelum pulang ke tanah air, Aina sudah bercadang membenarkan suaminya berpoligami agar beroleh zuriat kerana dia tidak boleh mengandung lagi.

Tetapi kenapa tiba-tiba sewaktu berangkat balik pada 26hb Aina tiba-tiba sakit dan ingin melahirkan sehingga suami diyakinkan oleh doktor baahawa dia akan bergelar seorang ayah.

Kalau Aina sekadar sakit biasa kenapa mesti dimasukkan ke bilik kecemasan?.

KESIMPULAN

Cerpen ini menarik cuma disebabkan pengarang ingin melakukan pembaharuan maka ada beberapa perkara yang boleh mengelirukan pembaca. Mungkin pengarang faham apa yang ingin disampaikan cuma saya sebagai pembaca kurang arif.

Walaupun ulasan ini agak pahit namun saya berharap pengarang tidak berkecil hati apatah lagi merajuk. Anggaplah yang pahit itu menjadi ubat kerana semua ubat yang mujarab itu pahit.

Abdullatip
Jumaat 2.00 pagi.





This page is powered by Blogger. Isn't yours?